Saturday, August 20, 2011

Aktiviti sebelum, selepas iftar



RAMADAN merupakan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan. Tidak hairanlah ia begitu dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Sepanjang bulan ini juga, amal ibadah akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Yang Maha Esa.

Bagi golongan yang berpuasa, terdapat dua kegembiraan yang bakal diperoleh. Pertama, kegembiraan melakukan amal ibadah dan yang kedua ialah kegembiraan ketika berbuka puasa.

Berbicara mengenai berbuka puasa, topik yang lazim diperkatakan adalah mengenai destinasi menarik yang perlu dikunjungi untuk menikmati juadah iftar yang lazat.

Hal itu dibuktikan melalui trend berbuka puasa di luar yang menjadi lumrah kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia, khususnya warga kota.

Justeru, tidak hairanlah setiap kali ketibaan Ramadan, sebahagian besar pengusaha kafe, restoran dan hotel di negara ini berlumba-lumba mengadakan promosi atau bufet berbuka puasa yang memberi kebebasan kepada pelanggan untuk makan apa sahaja yang dihidangkan.

Bagaimanapun, kebanyakan destinasi yang sedia ada lebih tertumpu di kawasan bandar dan terhad kepada ‘acara’ makan semata-mata. Tidak banyak aktiviti lain yang ditawarkan sama ada sebelum atau selepas berbuka.

Cruise Tasik Putrajaya


RUANG kabin yang luas dan berhawa dingin memberi keselesaan kepada penumpang ketika menikmati iftar.


Jika Venice terkenal dengan pelayaran romantis melalui gondolanya, Putrajaya juga mempunyai tarikan yang sama dan tidak kurang hebatnya.

Cruise Tasik Putrajaya (CTP) yang dilancarkan pada 30 Ogos 2003 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya melonjakkan nama Putrajaya daripada sekadar menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan kepada destinasi pelancongan utama di negara ini.

Berlatarbelakangkan panorama alam yang mendamaikan, CTP menyediakan perkhidmatan meneroka landskap bandar raya abad ke-21 itu merentasi tasik buatan manusia seluas 650 hektar.

Seperti juga tahun-tahun sebelumnya, CTP turut menawarkan pengalaman berbuka puasa di atas bot persiaran mewah dikenali sebagai Ramadan Cruise setiap kali tibanya bulan umat Islam berpuasa.

Sebaik sahaja laungan azan kedengaran dari pekarangan Masjid Putra, pengunjung akan diberi kurma dan air mineral untuk berbuka puasa di kawasan jeti terlebih dahulu. Tempoh 20 minit diberikan untuk pengunjung menunaikan solat di surau sebelum bot bertolak tepat jam 7.45 malam.


HIDANGAN tradisional Melayu dan Moghul menjadi signatur sajian Ramadan Cruise.


Dengan kelajuan dua hingga lapan knot, setiap pelawat berpeluang menikmati pemandangan indah sekitar tasik ambil merakamkan foto kenangan.

Antara pemandangan menarik yang disajikan sewaktu tetamu bot siar berbuka puasa adalah Masjid Putra, Istana Darul Ehsan, Kementerian Kewangan, Jambatan Wawasan, Monumen Millennium, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Istana Kehakiman, Jambatan Saujana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Jambatan Seri Gemilang, Perdana Putra (Pejabat Perdana Menteri) dan Jambatan Putra.

Pengurus Pemasaran Cruise Tasik Putrajaya, Mohd. Shukri Hassan berkata, bot persiaran yang digunakan iaitu Kelah dan Sebarau yang mampu memuatkan 50 penumpang pada satu-satu masa.

Menurutnya, kedua-dua bot pesiaran mewah berhawa dingin itu menawarkan pemandangan melepasi jendela kaca ketika ia belayar menyusuri sekitar Tasik Putrajaya.

“Pengunjung tidak perlu bimbang, bot persiaran ini direka untuk memberikan keselesaan yang maksimum kepada pengunjung. Selain itu, mereka juga boleh melihat panorama yang sama di depan dek terbuka di bahagian atas bot.


PELANGGAN perlu menempah awal dan tiba awal sebelum waktu iftar agar makanan dapat dihidangkan tepat pada waktunya.


“Perjalanan selama satu setengah jam tidak terasa berlalu. Kawasan sekitarnya yang tenang serta cahaya yang bergemerlapan daripada beberapa monumen di selilingnya memberikan suasana romantis yang sukar dilupakan,” katanya yang memberitahu aktiviti pelayaran menggunakan bot dan perahu masih diteruskan seperti biasa.

Tambah Mohd. Shukri, promosi itu hanya berlangsung pada hari Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan. Bagi hari-hari lain katanya, ia hanya bergantung kepada tempahan.

Moghul dan Melayu

Tambah Mohd. Shukri, pada tahun ini pihaknya mengetengahkan tema masakan Moghul dan tradisional Melayu yang lazat dan menyelerakan. Antara yang menjadi pilihan ialah nasi goreng kerabu, ayam masak percik, udang masak petai, bakso dan ikan nyok-nyok asam pedas, roti naan, nasi beriani dan ikan masala.

“Walaupun hidangannya tampak ringkas dan tidak banyak di hotel atau restoran di luar sana, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak hari pertama.

“Salah satu faktornya ialah harga yang murah iaitu hanya RM70 bagi dewasa dan kanak-kanak RM50,” jelasnya.

Seorang pengunjung, Nor Hammiyah Ramli, 30, gembira kerana hajatnya berbuka puasa bersama keluarga di atas bot persiaran itu terlaksana selepas lebih sebulan membuat tempahan.

Kata pensyarah di Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan itu, pengalaman belayar mengelilingi Putrajaya di atas bot ternyata berbeza berbanding melihatnya di atas daratan.

“Pelayaran ini umpama satu pakej lengkap, selain dapat berbuka puasa, saya juga dapat menghayati keindahan pelbagai bangunan dan monumen di sekitar Putrajaya ini.

“Pelayaran seumpama ini mampu menarik kehadiran pelancong-pelancong ke Putrajaya,” katanya.

Restoran Tasik Idaman


MENIKMATI hidangan lazat sambil bersantai di tepi tasik menambah pengalaman manis para pengunjung.


Sementara itu, kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur, Restoran Tasik Idaman yang terletak sempadan Bangi dan Dengkil, Selangor sesuai bagi pengunjung yang mahu melarikan diri daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.

Berlatarbelakangkan panorama tasik seluas lebih dua hektar, restoran yang dibuka pada tahun 2004 itu menawarkan pelbagai hidangan makanan laut dan Barat yang disediakan secara ala carte.

Antara menu yang menjadi signatur utama restoran itu ialah talapia bakar ala Idaman, siakap stim Idamanku, tomyam Tasik Idaman serta nasi goreng Tasik Idaman dan air limau Idaman.

Di samping menjamu selera pengunjung akan dihiburkan dengan celoteh deejay dan alunan muzik yang pasti membangkitkan selera dan keceriaan.

Sempena bulan Ramadan tahun ini, Restoran Tasik Idaman turut menawarkan promosi bagi mereka yang mahu merasai suasana berbuka puasa di tepi tasik yang santai dan menenangkan.

Pengurusnya, Nur Fateha Osman berkata, restoran itu mampu memuatkan kira-kira 500 orang pengunjung pada satu-satu masa di beberapa ruang yang disediakan iaitu Teratak Terapung, Teratak Idaman, Teratak Cahaya Idaman dan Dataran Idaman.

“Setiap ruang ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan dihias indah dengan pelbagai dekorasi menarik untuk memberi keselesaan kepada pelanggan,” ujarnya.

Berbeza daripada hotel, kafe atau restoran lain yang adakalanya menawarkan bufet, Nur Fateha berkata, pihaknya lebih selesa meneruskan hidangan ala carte seperti sebelum ini bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan berdasarkan selera masing-masing.

Rekreasi awam


LAPANG sasar untuk peminat golf boleh digunakan sebelum dan selepas waktu berbuka.


Katanya, di samping menjamu selera, pelanggan juga boleh melakukan beberapa aktiviti tambahan yang disediakan di restoran itu seperti bermain paintball, berkayak, memancing dan bermain golf di lapang sasar pukulan.

“Kolam pancing yang terletak bersebelahan dibuka 24 jam bagi membolehkan para peminat aktiviti memancing menghabiskan waktu sepuas-puasnya di situ.

“Pelbagai spesies ikan seperti keli, patin, toman dan talapia boleh dipancing dengan hanya membayar kos masuk serendah RM5 sejam.

“Lebih menyeronokkan hasil pancingan itu boleh terus dibakar atau dijadikan hidangan ketika berbuka puasa mengikut selera pelanggan,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi kaki golf pula, terdapat beberapa lapang sasar tersedia yang dibuka bermula dari pukul 9 pagi hingga 2 pagi.

“Dengan menggunakan sejenis bola khas, mereka boleh bermain golf sambil mengasah skil pukulan masing-masing dengan kadar bayaran RM5 hingga RM7 bagi setiap 100 biji bola,” jelasnya.

Seorang pelanggan, Shahid Abu Bakar berkata, kewujudan lapang sasar memberikan kemudahan kepada peminat-peminat golf sepertinya untuk melepaskan ‘gian’.

Pelajar kejuruteraan dari Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) itu berkata, walaupun lokasi terletak agak jauh dan terpencil, namun pelanggan yang berkunjung ke situ pasti berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Selain terbuai dengan panorama indah, saya juga dapat beraktiviti di samping menikmati pelbagai hidangan enak yang disediakan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: