Thursday, August 18, 2011

Sektor perbankan tidak terjejas



Sektor perbankan Malaysia tidak dan tidak akan terjejas oleh krisis kewangan dan hutang yang berlarutan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd (Maybank), Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, sektor itu amat berdaya tahan biarpun mungkin menjejaskan sedikit sektor lain, tetapi tidak segmen perbankan.

Menurutnya, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan sebarang gangguan dalam operasi domestik dan antarabangsa Maybank.

“Kebanyakan daripada pendedahan bank-bank Malaysia ialah di dalam negara dan rantau Asean, sekali gus menjadikan pendedahan ke arah Eropah dan AS amat minimum,” katanya selepas menyampaikan biasiswa Maybank kepada seramai 25 pelajar yang akan melanjutkan pengajian mereka ke luar negara dan di institusi pengajian tinggi tempatan.

Beliau berkata, 90 peratus daripada pendedahan Maybank adalah melalui kegiatannya di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengenai operasi Maybank di New York, Abdul Wahid berkata, setakat ini cawangan itu mempunyai tahap kecairan yang positif.

“Memandangkan itu, kami menguruskan aset dan tanggungan kami dengan amat teliti. Maybank dan semua bank tempatan, keseluruhannya, mempunyai pendedahan yang sangat minimum kepada Perbendaharaan AS,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: