
Groupon Malaysia, (Groupon) penyedia portal perniagaan dalam talian menyasarkan pertambahan bilangan pelanggan sehingga 1 juta menjelang akhir tahun ini selepas memeterai usaha sama bagi memudahkan transaksi pembayaran bersama portal perbankan nombor satu negara, Maybank.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joel Neoh berkata, dengan memeterai perjanjian itu, pelanggan Maybank2u (M2U) berpeluang menikmati potongan 10 peratus sekali gus memberi kelebihan membuat tempahan eksklusif beberapa jenama terpilih seperti penginapan di Hotel Carcosa Seri Negara; pusat kecantikan terkemuka terpilih; Konsortium Transnasional; barangan elektrik Pensonic; dan banyak lagi.
“Fenomena pembelian secara dalam talian semakin popular, justeru kami yakin jalinan kerjasama ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan baucar setelah 7,000 telah dijual pada bulan lalu,” katanya selepas memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, secara keseluruhan, dianggarkan 10 tawaran dijual setiap hari dan dijangkakan lebih setengah juta tawaran dijual tahun ini.
Joel berkata, usaha sama itu juga adalah satu peluang pemasaran syarikat dalam menambat kira-kira 1.74 juta pelanggan M2U yang aktif di Malaysia untuk membeli tawaran yang disediakan Groupon.
“Kerjasama ini juga adalah satu bentuk jaminan bagi meyakinkan pelanggan kerana setiap urus niaga yang melibatkan M2U selamat dan dipercayai,” katanya yang sedang melakukan penjelajahan promosi ke beberapa bandar besar ketika ini.
Serentak dengan kerjasama itu juga, Timbalan Presiden dan Perkhidmatan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat berkata, Maybank menjangkakan pertumbuhan pembayaran secara atas talian akan meningkat 20 peratus lebih berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: