|
SATU ketika dahulu, daging rusa mungkin dianggap sebagai hidangan eksotik dan jarang menjadi menu utama di restoran atau hotel-hotel terkemuka di negara ini.
Namun, kini persepsi itu mula berubah, daging rusa kini semakin digemari dan kini mempunyai peminat-peminatnya tersendiri seperti daging kambing atau lembu.
Bagi mereka yang mahu mencuba keenakan daging rusa ketika menikmati iftar nanti, bolehlah berkunjung ke L'apprenti@Putra Restaurant yang terletak di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
|
|
Eksekutif Chef, Abdul Kadir Razak berkata, daging rusa panggang yang diperkenalkan mendapat permintaan yang tinggi sejak hari pertama Ramadan.
"Kami mendapat maklum balas yang positif apabila mula-mula memperkenalkan daging rusa sebagai juadah berbuka. Kesemua bekalan daging rusa ini diperoleh di ladang ternak milik UPM," katanya.
Restoran yang mampu memuatkan kira-kira 100 pelanggan pada satu-satu masa itu menawarkan lebih 70 hidangan tempatan dan Barat.
Rasai sendiri keistimewaan beberapa hidangan popular negeri-negeri di Semenanjung seperti asam pedas, gulai patin tempoyak, masak lemak cili api dan sebagainya yang enak dimakan bersama nasi minyak atau nasi putih.
|
|
Andai pengunjung mahukan yang lebih ringkas, terdapat kue tiaw goreng yang boleh dijadikan pilihan di samping beberapa hidangan yang dimasak berbeza setiap hari seperti mi bandung Muar, laksa Penang atau mi kari.
Bagi penggemar makanan Barat pula, boleh mencuba pelbagai hidangan seperti pasta, fetucini atau spageti yang dihidangkan bersama sos bolognise atau sos carbonara.
Di samping itu, terdapat juga aneka rojak, kerabu, pilihan kuih-muih tradisional dan sebagainya yang cukup membuka selera anda.
Sebagai pencuci mulut, L'apprenti@Putra Restaurant turut menghidangkan pelbagai jenis bubur, kuih-muih tradisional, puding dan pelbagai jenis kek keju buatan sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: