Tuesday, August 23, 2011

Kurma goreng Harrods Cafe

KURMA goreng merupakan kudapan yang harus dinikmati.


HARRODS Cafe sememangnya terkenal dengan masakan Barat dan Asia Barat yang menjadi kegemaran ramai. Suntikan dekorasi yang memukau menambahkan lagi nilai eksklusif restoran yang terletak di tingkat satu, pusat beli-belah Suria KLCC itu.

Sama seperti restoran-restoran lain di seluruh negara, pada bulan puasa yang penuh keberkatan, restoran itu turut menghidangkan hidangan istimewa Ramadan untuk para pelanggan mereka.


TELUR dadar dengan isi ayam dan sayuran.


Kali ini, Chef Tony Cham yang bertanggungjawab menyediakan menu juadah yang berbeza setiap hari.

Daripada puluhan menu yang diketengahkan, apakah menu istimewa yang disediakan di kafe mewah itu? Jawapannya ialah kurma goreng.

"Kurma yang disalut tepung, kemudian digoreng sehingga garing merupakan hidangan eksklusif kami di sini. Santapan akan lebih sempurna sekiranya pelanggan memesan teh tarik Harrods. Rasanya sangat berbeza kerana daun teh di kafe ini diimport khas dari Harrods, London," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bufet yang dijual pada harga RM98 itu turut menawarkan puluhan sajian lain yang menambat selera.

Misalnya, pada hari-hari tertentu, pelanggan boleh merasai kelazatan kambing panggang, ikan salmon bersama pasta mahupun barbeku ayam yang dihidangkan bersama nasi beriani.


MENU ini mengenyangkan meskipun nampak ringkas.


Namun, apa kata, para pelanggan mencuba sup labu sebagai salah satu hidangan pertama semasa berbuka puasa. Supnya pekat dan rasanya tidak terlalu manis.

Bagaimanakah dengan hidangan pencuci mulut?

"Hidangan pencuci mulut termasuk pembuka selera akan dihidangkan secara bufet. Hanya makanan utama saja dihidangkan berbeza-beza mengikut hari," ujar Tony.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: