MEREKA mendarat dari ketinggian 11 meter dalam sesaat, berlari dengan payung terjun yang masih terpasang pada bahu, berkawad dengan membawa beban beg dan membawa kebuk yang padat dengan gas.
Situasi itu mungkin menjadi pemandangan biasa di pangkalan tentera khas Korea Selatan di barat Seoul. Cuma, 'tentera' yang ada terdiri daripada remaja lelaki dan perempuan yang sering ditemani keluarga masing-masing.
Kem tentera yang diadakan dua kali setahun dan terbuka untuk orang awam itu menawarkan latihan asas ketenteraan selama empat hari. Ia bermula pada tahun 2003 dan telah membuktikan keberkesanannya.
Ia terbuka kepada remaja berusia 13 tahun ke atas dan perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak 40,000 won (RM110). Setakat ini program itu sudah berjaya mendidik seramai 17,000 orang peserta.
Budaya ketenteraan sudah lama bertapak di Korea Selatan, yang dikendalikan oleh rejim tentera sekitar tahun 1980-an. Kesemua lelaki yang memiliki fizikal mantap diwajibkan untuk menjalani kerahan tenaga untuk berkawal daripada serangan Korea Utara.
Kem yang dikendalikan pihak tentera atau firma swasta itu menjadi popular kebelakangan ini kerana telah membentuk individu seperti budak sekolah, pekerja syarikat dan sesiapa sahaja yang berminat merasai percutian ala tentera.
Pihak tentera memberitahu, melalui penganjuran kem ini, para peserta latihan berpeluang menguji tahap kecerdasan, melancarkan keupayaan fizikal dan meraih semangat untuk membina 'kebarangkalian yang berkemungkinan'. Ia merujuk kepada isu keselamatan negara.
"Remaja lelaki terlibat secara terang-terangan kerana mereka wajib menjalani latihan tersebut.
"Namun, ramai juga wanita muda yang semakin menunjukkan minat sejak mereka dibenarkan untuk menyertai program pentauliahan pegawai berteraskan kolej tahun lalu," kata jurucakap kem berkenaan, Major Lee Joo-Ho.
Latihan olok-olok
|
|
Bulan ini, seramai 230 orang peserta mula mengangkat sumpah dan memulakan latihan di padang berlumpur di Gangseo ketika latihan memasuki hari ketiga.
Dalam hujan, para remaja itu mula menjalani latihan olok-olok seperti mendarat menggunakan payung terjun dengan cara melompat ke dalam kotak pasir dengan kedua-dua tangan didepakan.
"Baik, tuan! Saya boleh lakukannya!" Jerit mereka sambil menggalas beg dan melangkah dengan seluar masing-masing yang berat dibasahi air hujan.
"Saya mahu jeritan yang kuat! Jerit nama teman wanita kamu dengan kuat!" Begitulah arahan ketenteraan ketika seorang peserta melakukan ujian simulasi menuruni kabel setinggi 20 meter dari helikopter.
Peserta yang kelihatan pucat dengan suaranya yang tidak dapat didengar itu kemudian cuba menggapai kabel dan membiarkannya di tengah padang.
"Ini sahaja yang kamu boleh buat? Kuat lagi!," arahnya lagi, sehingga peserta itu akhirnya menjerit: "Choi Yoon, saya cintakan awak!" Dia akhirnya dibawa naik dengan kabel itu.
Yeom Hyuck, 15, berkata, dia begitu cemas tetapi tercabar sebelum dia melonjakkan dirinya dari ketinggian 11 meter dari menara ke atas tanah.
"Segalanya seronok tetapi sekarang saya sudah mula rindukan keluarga saya," ujarnya.
Sementara itu, Kim Tae-Hoon, 17, pula berkata, impian bapanya untuk menyertai tentera terhalang kerana kemiskinan. Justeru, bapanya mendesaknya untuk menyertai kem tersebut sebaik umurnya mencecah 13 tahun.
Sejak itu, Tae-Hoon hanya pulang pada musim panas dan sejuk iaitu sebanyak sembilan kali.
"Ia bagus untuk melepaskan tekanan dan ia lebih seronok daripada permainan komputer," kata Tae-Hoon.
Tae-Hoon dan adiknya, Tae-Hun yang menyertai latihan itu pada musim panas lalu mendapati ia begitu menyeronokkan kerana merasai pengalaman menggunakan kebuk gas yang direka untuk menghadapi serangan kimia.
"Saya gembira kerana telah kehilangan banyak berat badan. Malah, saya kini lebih yakin untuk menjadi dewasa," kata si gempal yang berpipi merah berusia 13 tahun itu.
Mengah dan marah
Namun, bukan semua peserta merasai keseronokannya. Perkara itu diakui oleh Cho Byung-Chan yang sering mengah dan penat selepas menjalani latihan tersebut sekali gus berasa marah kepada ibu bapanya kerana menghantarnya ke situ.
"Mereka kata saya perlu membesar. Ia terlalu sukar. Di sini, saya sering berasa lapar," kata remaja berusia 15 tahun itu yang selalunya menghabiskan waktu cuti sekolah dengan bermain permainan komputer.
Dalam pada itu, bekas komando, Yoon Jeong-Sik, 47, telah menghabiskan cuti musim panas di kem tersebut bersama dua anak perempuan dan isterinya yang berusia 24 tahun selepas bersara.
Jeong-Sik memberitahu, ia mahu keluarganya merasai suasana yang telah membentuk keyakinan dirinya, selain berasa megah dan memahami cara interaksi dengan orang lain.
"Saya terpaksa memujuk anak perempuan dan isteri saya datang ke sini untuk membentuk peribadi mereka," kata lelaki itu yang kebasahan selepas menjalani ujian merentasi sungai.
"Pada mulanya, mereka begitu teruja untuk menyertai latihan ini tetapi mereka tidak tahu betapa susah untuk berada di sini. Sekarang saya cuba untuk tidak bertentang mata dengan mereka," katanya seraya disambut gelak ketawa ahli keluarganya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: