Tuesday, August 16, 2011

Pakej lengkap Ustazah Pilihan


HEBAT... Izelan Basar (tengah) bersama tenaga pengajar Ustazah Pilihan iaitu (dari kiri) Ustazah Zawiah Hassan, Dr. Muhaya Hamad, Dr. Robiah K. Hamzah dan Siti Rohani Surani pada majlis pengumuman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SELEPAS kejayaan program realiti Imam Muda mencetuskan fenomena yang berjaya mengubah landskap industri penyiaran negara, Astro kini bersedia untuk mengulangi kejayaan serupa.

Mempertaruhkan Ustazah Pilihan, sesungguhnya Astro menerusi saluran rasmi program tersebut, Astro Oasis meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat program itu mencapai sasarannya.

Namun, untuk menerbitkan sebuah program yang memaparkan pencarian bakat baru pendakwah muslimah itu bukanlah semudah yang disangka.

Apatah lagi, apabila melibatkan kaum Hawa secara total, pastinya batas-batas agama perlu dipelihara dan dijaga agar tidak mengundang kata-kata kurang manis dan kontroversi apabila ditayangkan nanti.

Ini sendiri diakui oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang menjelaskan pihaknya berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang dalam merealisasikan Ustazah Pilihan.

"Semua aspek memang diteliti dan diambil kira oleh kami bagi memastikan Ustazah Pilihan tidak tergelincir dari landasannya. Sehinggakan krew penerbitan juga semuanya terdiri daripada kaum wanita.

"Malah, shot juga kami perlu jaga agar tidak terlalu menampakkan sosok tubuh peserta di kaca televisyen demi menjaga aurat mereka.

"Bukan itu sahaja, kami juga memastikan untuk peserta yang sudah berkahwin, mereka perlu meminta keizinan daripada suami masing-masing sebelum menyertai program ini.

"Kami memang cukup sedar cabaran yang harus dipikul sejak dari awal idea ini dicetuskan tetapi, kami tidak mahu melihatnya sebagai kekangan dalam membataskan mutu penerbitan program ini.

"Apa yang lebih penting buat kami adalah untuk mencari pendakwah muslimah tetapi seorang wanita Islam yang mampu memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang selain tugas sebagai seorang isteri serta ibu," jelasnya panjang lebar.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan tenaga pengajar dan hos Ustazah Pilihan yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tiga teraju utama yang bakal mengemudikan program ini kelak ialah Dr. Robiah K. Hamzah selaku mudirah serta Dr. Muhaya Hamad dan Ustazah Zawiah Hassan selaku mursyidah.

Tidak ketinggalan penyampai radio IKIM FM iaitu Siti Rohani Surani yang berjaya menambat hati pihak Astro Oasis untuk dipilih sebagai pengacara Ustazah Pilihan.

Menyentuh tentang pemilihan mudirah dan mursyidah yang akan menggalas tanggungjawab mereka nanti, Izelan menjelaskan pihaknya telah membuat pilihan yang tepat.

Malah, dia juga sedar bahawa barangkali masyarakat mahu melihat seseorang yang lebih dikenali menerajui Ustazah Pilihan.

Tetapi, pihaknya mahu memberi ruang kepada tokoh agama yang lain untuk berkongsi ilmu dan mendidik para peserta Ustazah Pilihan kelak.

"Mereka sendiri melibatkan diri dari awal dan mengatur serta menyediakan modul pembelajaran. Sesungguhnya saya amat berpuas hati dengan komitmen mereka setakat ini," ujar Izelan yang tidak menafikan mempunyai idea untuk menerbitkan program serupa bagi kanak-kanak pula.

Mengulas lanjut tentang program yang bakal bersiaran selepas Aidilfitri itu nanti, Izelan memberitahu, dia cukup berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat terhadap Ustazah Pilihan.

Apatah lagi, mereka yang hadir semuanya memiliki latar belakang pengajian yang mengagumkan dalam melayakkan mereka menjadi peserta nanti.

"Dalam masa yang sama, kami tidak menafikan pakej lengkap itu penting dalam mencari peserta yang lain. Tetapi, keutamaan kami adalah mereka yang mempunyai kualiti tinggi dalam pengetahuan agama," jelas Izelan yang memberitahu pihaknya akan memilih 12 peserta terbaik dalam tempoh seminggu lagi.

Rentetan daripada kejayaan Imam Muda, Ustazah Pilihan juga menjadi pilihan Bank Islam selaku penaja utama dengan kerjasama Al-Riyadh Travel and Tours.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: