SEJAK menerbitkan filem pertama berjudul Syukur 21 pada tahun 2000, syarikat produksi Metrowealth (MIG) tidak pernah lupa mengadakan pratonton filem-filem mereka kepada pihak media massa sebelum ia ditayangkan di pawagam.
Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, MIG dikatakan tidak lagi mengadakan majlis tersebut untuk tontonan semua wakil media massa, sebaliknya ia hanya untuk segelintir wartawan sahaja.
Penerbit MIG, David Teo menafikan dakwaan yang mengatakan dia berkecil hati dengan segelintir wartawan yang sering menghentam filem-filem terbitannya sehingga menyebabkan dia tidak mahu lagi mengadakan majlis seumpama itu.
“Sebenarnya, saya memang sengaja tidak mahu mengadakan pratonton untuk semua media massa sebagai salah satu strategi baru saya. Sebaliknya, pratonton itu sekarang lebih banyak diadakan secara dalaman sahaja.
“Contohnya, saya lebih banyak menjemput ahli-ahli Twitter dan di MIG Online di Internet yang melebihi 5,000 orang hadir pada majlis pratonton filem-filem saya. Cara itu bukan sahaja lebih meluas tetapi ia juga menjimatkan masa.
“Sudah sampailah masanya saya ‘keluar daripada kotak’ lama. Dalam bidang ini ada banyak strategi yang boleh dilakukan bagi mempromosikan sesebuah filem itu,” katanya sewaktu ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Pada pertemuan di pejabat MIG di Petaling Jaya, Selangor itu, David menganjurkan majlis berbuka puasa dan Malam Kongsi Rezeki untuk kakitangannya, media massa dan juga para pelakon yang bernaung di bawah MIG Talent.
Turut diadakan ialah acara pemberian bonus dan duit raya kepada para karyawan filem ke-45 terbitan MIG berjudul Kongsi yang mencatat kutipan tiket RM8.5 juta .
Penerbit berasal dari Segamat, Johor itu turut tidak menafikan sumbangan media massa yang masih diperlukan dalam memberi promosi terhadap filem-filem terbitannya sebelum ia ditayangkan di pawagam.
“Bagi saya, bidang kritikan filem tidak akan pupus selagi adanya wartawan. Itu memang kerja mereka (wartawan). Saya juga tidak kecil hati dengan kritikan wartawan terhadap filem-filem terbitan saya selama ini,” komennya.
David turut membuktikan dia pemurah apabila semua karyawan filem Kongsi terbitannya mendapat bonus termasuklah Ustaz Fauzan Abd. Samad yang menerima RM10,000 pada majlis berbuka puasa syarikatnya itu.
Jelasnya, meskipun Ustaz Fauzan cuma sekadar membaca doa pada majlis kesyukur pelancaran dan tamat penggambaran filem-filem MIG Production tetapi dia juga berhak menerima imbuhan tersebut.
“Ini bukan kali pertama saya memberi bonus kepada Ustaz Fauzan tetapi tahun lepas saya juga telah memberi bonus RM10,000 kepadanya. Setakat ini sudah ramai ustaz yang saya jemput membacakan doa selamat pada majlis saya.
“Saya dapati Ustaz Fauzan kelihatan lebih jujur dan ikhlas. Perkara itu saya dapat lihat daripada air muka dan nada suaranya sewaktu membacakan doa. Malah, kebanyakan filem saya yang dia bacakan doa juga untung besar.
“Saya sudah biasa dengan Ustaz Fauzan dan akan terus bekerjasama dengannya pada masa depan.
“Bagi saya, orang seperti dia juga amat penting bagi memastikan kejayaan filem-filem terbitan MIG Production pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu, pengarah Kongsi, Farid Kamil pula menerima wang tunai RM50,000 dan RM50,000 biasiswa melanjutkan pelajaran di luar negara, pelakon Kongsi, Shahiezy Sam (RM60,000) dan Yana Shamsudin (RM10,000).
Farid Kamil yang berasal dari Kedah berkata, dia terharu dengan sumbangan David itu kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi motivasi kepadanya untuk berkarya dengan lebih kreatif lagi pada masa akan datang.
“Saya belum memutuskan untuk melanjutkan pengajian di universiti mana. Buat masa ini, saya mahu menyiapkan terlebih dulu filem terbaru arahan saya yang berjudul Cup Prix yang juga diterbitkan oleh MIG Production,” katanya.
Selain itu, David turut menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Rumah Anak Yatim Syifa, Pusat Jagaan dan Asuhan Raudhatul Ikhwan, Persatuan Kebajikan Al-Munirah dan Darul Kifayah.
Tidak ketinggalan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 setiap satu kepada enam persatuan artis termasuklah Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Sutradara Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: