
Berbekalkan lagu-lagu hits seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada dan Aku Skandal, dengan pantasnya Noh (vokalis), AG Coco (gitar), Ambobzeela (dram), Izat (bass) dan Hang Dimas (keyboard) meraih populariti dan kejayaan.
Malah, kemunculan mereka juga seolah-olah membuka jalan kumpulan indie yang lain untuk memperkenalkan karya mereka kepada umum.
Mewakili kumpulannya, Noh bagaimanapun berkata, tidak terdetik di minda mereka pada awalnya untuk meniti populariti seperti dikecap kini.
“Bagi kami, objektif utama kami hanyalah untuk menghasilkan muzik yang terbaik dan sudah mencukupi jika ada yang sudi mendengarnya.
“Sepanjang lima tahun perjalanan Hujan, kami tidak diiringi kejayaan semata-mata, tetapi turun naik pasti ada dan kami sentiasa belajar daripada kesilapan,” katanya.
Hujan beruntung kerana sejak awal kehadiran mereka dalam industri seni, mereka sentiasa mendapat sokongan peminat yang diberi gelaran raingers.
“Tidak kira apa pun berlaku, raingers sentiasa berada di belakang kami memberi semangat dan inspirasi.
“Sebagai penghargaan, kami akan terus menjadi yang terbaik bagi memuaskan hati mereka yang banyak menyokong,” kata suami Mizz Nina ini.
Album baru tampil berbeza
Beralih kepada perkembangan terbaru, tidak lengkap sekiranya tidak bercerita mengenai single terbaru mereka berjudul Kotak Hati yang rancak diputarkan di corong radio.
Lagu berentak balada dengan lirik yang romantis ini menyertai direktori lagu lain dari album ketiga, Lonely Soldier Boy yang berjaya menambat pendengar seperti Inspektor Remos dan Muda.
Menurut Noh, lagu ciptaannya itu asalnya adalah lagu lama yang dirakam semula dengan gubahan muzik yang lebih segar.
“Sebelum ini, kami tidak pernah keluarkannya secara rasmi, melainkan versi live yang dinyanyikan semasa persembahan di Planet Hollywood.
“Istimewanya Kotak Hati versi baru ini kami merakamkannya dengan iringan orkestra dan kami berpendapat ia perlu dikongsi dengan peminat,” katanya.
Kini, setelah hampir setahun Lonely Soldier Boy berada di pasaran, semua anggota Hujan masing-masing sibuk mencari material untuk album terbaru.
Sesekali, jika ada kesempatan dan waktu, pasti mereka gunakan sebaiknya untuk berkumpul di studio dan berbincang mengenai pemilihan lagu yang sesuai.
Ia sesuatu yang berbeza buat Hujan, kerana menurut Noh, mereka tidak pernah melakukan perkara sedemikian dalam pembikinan album sebelum ini
“Kalau dulu, saya cipta lagu dan mereka buat mastering dan kemudian kami terus masuk studio rakam lagu.
“Kali ini, semua anggota terlibat dan sama-sama memikirkan hala tuju untuk album baru,” katanya.
Menurutnya lagi, setakat ini mereka sudah melakukan susunan muzik dan akan menjalani rakaman tidak lama lagi.
Masih mahu berahsia tentang susunan muzik yang digunakan, bagaimanapun Noh sempat memberi hint bahawa album baru ini bakal tampil berbeza dengan buah tangan sebelum ini.
“Saya berani cakap muzik Hujan memang lain dan dapat menjangkakan bahawa pendengar pasti akan berkata Hujan sudah menjadi band lain.
“Namun, mereka kena terima Hujan adalah pemuzik dan kami akan bermain muzik yang kami selesa dan sesuai dengan keadaan sekarang,” jelas Noh tentang rasional mereka membuat perubahan.
Bukan sekadar transisi hala tuju muzik, malah sebagai vokalis, Noh mengakui dirinya juga perlu menjalani perubahan terutama dari segi teknik nyanyian.
“Peminat tidak akan mendengar lagi saya menyanyi secara bersahaja kerana saya akan menghadiri kelas bagi meningkatkan mutu vokal.
“Bukanlah bermakna selama ini saya tidak serius, tetapi saya ingin menjadi lebih baik, apatah lagi saya dikelilingi orang yang sering memberi motivasi seperti Nina dan Izat,” katanya.
Hujan akan adakan persembahan Borneo Tour selepas Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: