Saturday, August 20, 2011

Nostalgia Aidilfitri merdeka di SCM

PEMANDANGAN penjual kacang putih di stesen kereta api diimbau oleh pusat beli-belah Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya.


SUASANA di pekarangan Stesen Keretapi Sunway Carnival Mall pada petang Ramadan itu memang cukup sibuk. Penumpang yang menanti ketibaan kereta api dari selatan menuju ke utara tanah air pula kelihatan tidak sabar-sabar.

Di satu sudut di luar stesen, kelihatan para penjaja yang tidak menang tangan melayan karenah pelanggan. Turut kelihatan ialah si Raju penjual kacang putih dengan basikal tuanya setia menanti pelanggan.

Ketua stesen pula mundar-mandir di hadapan pejabatnya sambil membawa bendera merah dan hijau, manakala matanya pula tidak putus-putus menatap jam di dinding.

Begitulah sibuknya sebuah stesen kereta api yang dijelmakan oleh pihak pengurusan pusat beli-belah Sunway Carnival Mall (SCM) Seberang Jaya, Pulau Pinang di ruang legarnya bersempena meraikan Ramadan dan bulan Kemerdekaan.

Landasan sebenar


ARIF SHAH (tengah) merasmikan gimik pelancaran Memori Raya Merdeka sambil diperhatikan Aminuddin (kanan) dan Heng Wah (dua dari kiri).


Meraikan dua sambutan besar serentak, pilihan dekorasi SCM menjelmakan nostalgia menyambut Aidilfitri menerusi suasana sebuah stesen kereta api itu yang diberi nama Memori Raya Merdeka sememangnya unik.

Dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pulau Pinang, enam batang rel sebenar milik KTMB dipasang di situ bagi menempatkan sebuah gerabak yang dibina semula.

"Kita pasti ingat kira-kira tiga dekad lalu kereta api merupakan mod pengangkutan darat yang paling utama sebelum adanya rangkaian jalan raya seperti hari ini," ujar Pengurus Pusat SCM, Chow Heng Wah.

Katanya, stesen kereta api menjadi lokasi penting masyarakat pada masa itu sama ada menghantar sanak saudara yang berhijrah sehinggalah menanti kepulangan mereka kembali ke desa.


WATAK-WATAK yang diwujudkan untuk menghidupkan suasana dan memori di stesen kereta api tiga dekad lalu.


"Stesen kereta api merupakan sebuah tempat yang ada segala-galanya. Ada penjaja kuih, kedai kopi, penjual kacang putih sehinggalah gelagat kanak-kanak yang berlari-larian dan bermain dengan gembira.

"Nostalgia inilah yang ingin kita kongsi bersama para pengunjung SCM menyambut Aidilfitri tahun ini, sesuai dengan semangat masyarakat pelbagai kaum negara kita yang hidup dalam harmoni," ujarnya.

Terdahulu, majlis perasmian sambutan Memori Raya Merdeka itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.

Program menarik


KELIBAT penjaja makanan tradisional seperti ini menghidupkan suasana nostalgia Aidilfitri di Sunway Carnival Mall.


Gimik perasmian, Arif Shah mengibarkan bendera hijau sebagai tanda pelepasan kereta api dari stesen oleh ketua stesen.

Menariknya, sepanjang sambutan tersebut pelanggan yang berbelanja sehingga RM80 dalam satu resit menerima sampul wang raya eksklusif SCM, manakala yang berbelanja lebih RM250 pula diberi selendang pashmina.

Heng Wah berkata, pelbagai program menarik disediakan kepada para pengunjung SCM sehingga 4 September ini yang kesemuanya bertemakan kemeriahan hari raya dalam semangat kemerdekaan.

Antaranya ialah pertandingan menghias kuih raya, demontrasi melukis inai, pertandingan permainan congkak tradisional, uji kemahiran menghasilkan kad raya dan pertandingan nyayian lagu-lagu raya yang mempertaruhkan hadiah RM2,500.

Kemuncaknya ialah persembahan wayang kulit pada 27 Ogos ini oleh kumpulan tok dalang yang dibawa khas dari Kelantan.

"Pada malam 30 Ogos nanti, kita akan adakan persembahan Nostalgia Lagu-lagu Sudirman seperti Tanggal 31, Balik Kampung dan Basikal Tua yang pasti menggamit kenangan dalam diri kita rakyat Malaysia.

"Ia disusuli persembahan tarian Wajah-Wajah Malaysia oleh kumpulan penari pelbagai kaum," ujar Heng Wah yang mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam program-program disediakan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sosial facebook SCM dan laman web www.sunwaycarnival.com atau hubungi talian 04-3979 888.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: