Saturday, August 20, 2011

Pertama kali makan ambuyat


IKAN jeruk dan ambuyat adalah dua hidangan tradisi Sabah yang memang kelihatan agak pelik tetapi mempunyai rasa yang sedap.


PENERBANGAN Firefly kami minggu ini diteruskan ke Negeri Di Bawah Bayu. Kali ini misi semakin sukar kerana perlu mencuba makanan yang tidak pernah dimakan atau dilihat sebelum ini iaitu ambuyat dan ikan jeruk.

Setiba di Kota Kinabalu, Sabah yang mengambil masa dua jam setengah itu, kami perlu menaiki kenderaan darat untuk tiba ke lokasi misi seterusnya iaitu Beaufort yang membawa maksud kota yang indah dalam bahasa Perancis.

Untuk membuat ambuyat, saya perlu meredah hutan mencari pokok sagu. Agak senang juga mencari pokok sagu tetapi, bahagian yang paling memenatkan adalah menarik batang pokok sagu tersebut dari dalam hutan ke pondok pembikinan sagu.

Proses seterusnya mengopek kulit pokok tersebut dan membelah isinya menjadi bahagian kecil seterusnya membuatkan isi sagu menjadi halus yang kemudian ditapis dan direndam.

Isi sagu yang menjadi sebatian akhirnya dimasukkan ke dalam karung dan sedia untuk dijual. Kepenatan belum hilang, perjalanan diteruskan menuju ke Kampung Weston, Beaufort iaitu tempat misi ambuyat akan dibuat disini.


FAIZ bersungguh-sungguh memerah sagu.


Sepanjang perjalanan itu, kami sempat melihat secara dekat spesies monyet Proboscis yang hanya terdapat di Borneo sahaja.

Waktu malam diisi dengan cara pembikinan ambuyat iaitu bahan utamanya adalah sagu. Walaupun hasil air tangan saya tidak menjadi tapi rasanya ermmm...sedap.

Ikan diperap dalam tanah

Lokasi seterusnya adalah Daerah Tenom untuk mencari ikan jeruk. Sebelum itu saya sempat singgah di Kampung Budaya Kaum Murut untuk melihat reka bentuk seni bina dan peninggalan sejarah kaum Murut.

Yang seronoknya, saya juga sempat mencuba tarian kaum Murut yang biasanya ditarikan pada Pesta Kalimaran yang berlaku setiap kali tiba bulan April.

Perjalanan kami diteruskan ke Kampung Ulu Keritan yang terletak di sempadan daerah Tenom dan Keningau. Terletak jauh di kawasan pedalaman dan sangat tenang, jauh dari hiruk pikuk bandar.

Di sini, saya berjumpa dengan seorang lelaki dipanggil Manchiang. Manchiang itu bermaksud ketua kampung di dalam bahasa Murut.

Seperti biasa, kali ini saya perlu meredah sungai untuk menjala ikan. Dari pangkal ke hujung sungai diredah untuk mendapatkan ikan.

Selesai di sungai, naik ke darat pula untuk mencari buluh. Selesai di darat, turun ke sungai pula untuk proses membersihkan buluh. Selesai di sungai naik pula ke bukit di sebabkan rumah untuk memasak menu ikan jeruk berada di atas bukit.


INILAH Ah Kong buaya yang berusia 51 tahun.


Memang memenatkan. Terasa longgar juga tulang belulang saya dibuatnya.

Ikan yang ditangkap dibersihkan bersama nasi yang telah dimasak dan digaul dengan garam. Kesemua bahan dimasukkan ke dalam buluh dan ditanam di dalam tanah selama dua minggu dan paling lama selama dua bulan.

Jika anda hendak tahu, ini pertama kali saya lihat ikan yang digaul dan rupa ikan yang telah dijeruk, memang fikir beberapa kali hendak makan.

Tetapi apabila masuk ke dalam mulut, rasanya memang sedap! Ikan jeruk ini merupakan makanan tradisi bagi kaum Murut dan menjadi menu kemestian pada hari perayaan mereka.

Selesai misi di Kampung Ulu Keritan, saya sempat pula singgah di Taman Buaya Sabah dan menyaksikan buaya yang berusia 51 tahun bernama Ah Kong. Buaya itu telah pun dijinakkan.

Pengunjung yang datang boleh berada dekat dengan buaya untuk mengambil gambar kenangan. Memandangkan Tenom sangat terkenal dengan kopi, saya pun singgahlah di salah satu kilang pengeluar kopi yang terkenal iaitu Yit Foh Coffee. Memang kaww rasa kopinya apatah lagi bau aromanya yang sangat wangi.

Itulah antara pengalaman saya ketika berada di Sabah, negeri yang penuh dengan keunikan makanan lazat dan mesti dicuba. Nantikan siarannya dalam Makan Angin 2, malam esok di TV9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: