Saturday, August 20, 2011

Elemen tradisi Istana Bambu

Keunikan dekorasi serta suasana yang mendamaikan menjadikan Restoran Istana Bambu antara lokasi menarik untuk berbuka puasa.


KEUNIKAN dekorasi membuatkan pengunjung lebih santai menikmati juadah berbuka.


DALAM kita berpuasa, salah satu kegembiraan utamanya, tentu sekali sewaktu menikmati juadah berbuka puasa. Jika mahukan suasana yang berbeza, apa kata atur langkah ke Restoran Istana Bambu yang terletak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), bertentangan dengan susur masuk Keramat AU di Kuala Lumpur.

Dibina di kawasan seluas empat hektar, keunikan restoran itu terletak pada elemen buluh yang diterapkan dalam setiap dekorasinya.

Tidak cukup dengan itu, kolam ikan dan batas-batas sawah yang menghijau di salah satu sudut restoran itu pasti membangkitkan suasana tenang dan damai ketika berbuka puasa.

Pengurus Restoran Istana Bambu, Afandy Alias berkata, sempena Ramadan tahun ini, pihaknya menyediakan lebih 70 hidangan popular bercirikan Melayu, Cina dan Indonesia.

"Antara menu wajib yang perlu dicuba adalah hidangan makanan laut seperti dry butter prawn dan sotong telur masin yang menjadi signatur utama di restoran ini.

"Di samping itu, pelanggan juga boleh merasai aneka hidangan tradisional dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia seperti asam pedas, daging salai masak lemak cili api, ikan patin tempoyak serta ulam-ulaman yang pasti membangkitkan selera," katanya.


ISTANA Bambu menyediakan pelbagai hidangan bercirikan Melayu, Cina dan India.


Afandy memberitahu, pihaknya juga menawarkan aneka ikan dan daging bakar yang enak dimakan bersama air asam dan sos istimewa.

"Tidak dilupakan, pelbagai variasi hidangan seperti laksa, mi rebus, mi bandung yang ditawarkan berbeza setiap hari di samping tom yam dan sup kambing.

"Sebagai pencuci mulut, terdapat pelbagai kuih tradisional seperti karipap, koci, lompat tikam, cendol, aiskrim dan buah-buahan yang boleh dijadikan pilihan," ujarnya.

Menurut Afandy, secara keseluruhan restoran itu mampu memuatkan lebih 500 pengunjung pada satu-satu masa.

"Selain ruang makan utama yang mampu memuatkan lebih 170 pelanggan, binaan gazebo di sekeliling restoran ini juga menjadi tarikan kepada pengunjung.

"Tiga jenis gazebo bersila disediakan. Gazebo paling kecil muat untuk empat orang, sederhana pula boleh diisi 10 orang manakala yang paling besar mampu menampung 40 pelanggan.

"Sementara itu, galeri khas yang mampu memuatkan kira-kira 80 yang gemarkan konsep makan yang santai namun, privasi serta ruang kanopi untuk bagi pelanggan yang ingin mengadakan majlis-majlis tertentu," katanya yang memberitahu restoran itu juga lengkap dengan kemudahan surau, tandas dan bilik mesyuarat.

Tambah Afandy, bagi memeriahkan suasana berbuka puasa tahun ini, pihaknya turut melantik penyanyi Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi sebagai duta restoran itu. Dafi akan menghiburkan pelanggan pada hari-hari yang ditetapkan iaitu pada 26 dan 28 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: