Monday, August 22, 2011

Misteri lagu Cinta Tiga Segi kini terbongkar



Membaca baris lagu ini sahaja pasti membuatkan kita terbayang wajah penyanyi kesayangan ramai Saleem yang mempopularkan lagu ini sekitar 2008.

Lagu yang berjudul Cinta Tiga Segi ini bukan sahaja menjadi siulan anak-anak muda, malah ia sering kali menjadi pilihan ramai untuk berkaraoke.

Di sebalik keunikan lagu ini, ada kisah misteri yang tersembunyi, kononnya ia dicipta oleh seorang banduan yang bernama Hazwan, sebelum dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh kekasihnya.

Sebelum meninggal, dia meminta rakannya untuk merakamkan lagu itu sebagai tanda kenangan dan sejauh manakah kebenarannya menjadi tanda tanya sehingga kini.

Bagaimanapun, setelah tiga tahun, akhirnya pencipta sebenar lagu ini tampil membuat pendedahan eksklusif bersama Zass.

Akui terkilan dan geram dengan pelbagai andaian dan cerita yang tidak berasas direka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, Mohd Nazri Mohd Yusof, 26, atau Ayie yang merupakan seorang anggota polis dari Singapura, tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Bagi Ayie, sudah sampai masanya masyarakat mengetahui perkara sebenar dan tidak terus terperdaya dengan cerita-cerita yang tidak berasas itu.

"Bukan saya tak mahu bersuara sebelum ini, tapi keadaan tidak mengizinkan. Sebenarnya saya sentiasa berusaha untuk menyampaikan perkara sebenar, tapi saya bertemu dengan orang yang salah dan tidak dapat memperbetulkan keadaan. Lagipun saya berada di Singapura dan tiada kenalan di Malaysia yang dapat membantu," kata Ayie memulakan bicara.


Muat turun di YouTube sejak 2006

Menurutnya, tajuk sebenar lagu itu adalah “Perangkap Cinta” yang ditulisnya ketika berumur 13 tahun lagi iaitu pada 1998.

Ketika itu dia yang sedang dilamun cinta monyet hampa kerana insan yang disayangi menolak cintanya dan kembali kepada kekasih lama.

“Memang lagu ini saya tujukan khas untuk dia, secara tepatnya ia adalah luahan perasaan saya kepada gadis tersebut. Mula-mula saya rekod lagu ni dengan hanya menggunakan telefon bimbit dan didengarkan kepada kawan-kawan.

“Selepas itu ia mula merebak selepas kawan-kawan mendengarkannya kepada kawan yang lain pula. Seingat saya, saya memasukkan lagu ini ke YouTube pada 2006. Selepas itulah semakin ramai yang menyanyikan semula lagu itu.

“Kalau di Singapura, sebut sahaja “Perangkap Cinta” semua sudah tahu siapa yang mencipta dan menyanyikan lagu itu. Saya sendiri tidak sangka hanya kerana sebuah lagu, pelbagai perkara boleh terjadi dan berlarutan sehingga ke hari ini,” katanya kepada Zass di pejabat Sinar Harian di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: