|
|
ZAMAN kecil telah lama berlalu, tetapi memori manis ketika melalui proses menjadi dewasa sehingga hari ini masih kuat dalam ingatan. Bagi pengacara rancangan Diva, di RTM 1, Addy atau nama sebenarnya Mohamad Junaidi Ahmad Zawawi, dia tidak dapat melupakan pengalamannya berniaga di bazar Ramadan semasa masih bersekolah rendah.
“Sewaktu tinggal bersama keluarga di Felda Lasah, Sungai Siput, Perak, saya pernah tolong emak dan abah berniaga lauk-pauk di bazar Ramadan.
“Kadang-kadang saya menjaga gerai sendirian sebab emak masih memasak di rumah. Saya tidak pandai mengira harga makanan jadi semuanya saya letak RM3.50 untuk semua jenis lauk, tidak kira sikit atau banyak,” katanya mengimbas kembali saat manis itu.
Setelah menginjak dewasa dan masuk ke alam pekerjaan, Addy memberitahu, dia begitu rindukan pengalaman dahulu lebih-lebih lagi dia kini tinggal jauh daripada keluarga.
“Saya rindu hendak ke bazar Ramadan bersama keluarga saya,” katanya.
Menceritakan pengalaman ke bazar Ramadan sepanjang bergelar anak perantau, Addy memberitahu, dia gemar ke bazar Ramadan di sekitar Shah Alam dan Pantai Dalam kerana berdekatan dengan rumah dan pejabat.
“Sekarang saya jarang ke bazar Ramadan kerana kekangan waktu bekerja. Jadi, bila waktu berbuka, saya makan apa yang ada sahaja.
“Tetapi, popiah basah memang menjadi kegemaran saya dan menjadi juadah wajib dibeli sekiranya saya berkunjung ke bazar Ramadan,” katanya.
Tambah Addy, sekiranya tidak dapat membeli popiah basah di bazar Ramadan, dia akan pulang ke rumah dengan perasaan hampa walaupun telah membeli juadah-juadah lain.
“Popiah basah kegemaran saya dijual di bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Di tempat lain susah nak cari kalau ada pun tidak sesedap di sini,” katanya yang turut menggemari pajeri nenas.
Addy memberitahu, dahulu dia sering membazir di bazar Ramadan, tetapi kini dia mengehadkan sebanyak RM10 sahaja dan dimakan beramai-ramai dengan rakan pejabat atau rakan serumah.
“Selalunya saya akan ke bazar Ramadan bersama rakan-rakan jadi semuanya akan membeli. Kami akan berkumpul semeja berkongsi makanan masing-masing. Semua makanan biasanya akan habis,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: