Monday, August 15, 2011

Ilham tradisi kurung dan kebaya



TRADISI berbaju kurung dan berkebaya sememangnya begitu sinonim dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Tanpa sehelai baju kurung yang cantik dan baharu, Aidilfitri dianggap kurang ceria.

Setelah lapan tahun beroperasi, ternyata butik Poya masih kukuh memegang tradisi Melayu. Justeru, sempena Aidilfitri yang bakal tiba, pelbagai pilihan baju kurung dan kebaya yang sarat ciri-ciri tradisi tersedia di sini.

Menurut pemilik butik, Adilah Ahmad Khairudin, butik Poya masih mengekalkan rekaan klasik tradisional dalam setiap rekaan baju kurung dan kebayanya.

"Baju kurung merupakan tradisi turun-temurun yang sudah melalui transformasi seiring perubahan zaman. Walaupun masih mengekalkan elemen tradisi, gaya klasik pula dilihat semakin dilupakan.

"Antara yang semakin dilupakan adalah baju kurung poket yang dipakai nenek moyang kita suatu masa dahulu. Di Poya, memori kurung poket dikembalikan dalam rekaan kurung Riau dengan potongan yang lebih ramping," katanya.

Menurut Adilah, rekaan-rekaan baju kurung Poya kebanyakannya dibuat dalam potongan Riau kerana penggemar kurung masa kini mahukan potongan yang menampakkan bentuk badan untuk nampak lebih ramping.

"Justeru, pelbagai pilihan baju kurung yang berpotongan ada di sini antaranya baju kurung poket, baju kurung Riau, baju kurung belah, baju kurung Cik Kiah, baju kurung anak dalam atau baju Kedah yang dipadankan dengan kain batik kipas.

"Beberapa rekaan baju di sini diberi nama khas seperti baju kurung Cik Kiah kerana ia adalah rekaan baharu yang disuntik elemen klasik tradisional. Namun, ia nampak lebih moden dari segi pemilihan fabrik dan potongan," jelasnya.


BUTIK Poya menawarkan koleksi pakaian kanak-kanak rona terang dan ceria.


Bagi pilihan kebaya pula, Adilah memberitahu, terdapat pelbagai pilihan yang ringkas mahupun sarat perincian antaranya kebaya jubah, kebaya nyonya, kebaya ballroom ratu, kebaya biku, kebaya tok dan kebaya kimono.

"Kebanyakan rekaan di sini menggunakan fabrik kapas, sifon, songket, krep, kaftan dan satin. Fabrik-fabrik ini adalah pilihan yang selesa digayakan serta dingin di badan.

"Untuk perincian pula pilihan sulaman, renda dan manik ditatah ringkas atau sarat, mengikut pilihan masing-masing," katanya.

Menurut Adilah, harga untuk pilihan baju kurung bermula daripada RM350 manakala kebaya pula bermula daripada RM200.

Dalam pada itu, butik Poya turut menyediakan pelbagai pilihan baju kurung dan kebaya untuk kanak-kanak termasuk baju potongan rama-rama yang disulam ringkas.

"Baju kurung kanak-kanak kebanyakannya menggunakan fabrik kaftan dan kapas, sesuai dengan kanak-kanak kerana selesa dipakai dan tidak panas.

"Pilihan kebaya nyonya, kebaya renda, kebaya rama-rama dan kebaya dua ton juga ada disiapkan untuk kanak-kanak tetapi potongan dan perinciannya lebih ringkas," katanya.

Menurutnya, pakaian kanak-kanak disediakan untuk mereka yang berumur setahun hingga 13 tahun, manakala harganya adalah RM55 ke atas.

Klasik daripada Hatta

Dalam pada itu, pereka fesyen Hatta Dolmat turut memilih konsep klasik bagi meraikan rekaannya dalam potongan yang sarat elemen tradisi.

Koleksinya yang dinamakan Kasyaf Classic 2011 Raya Collection by Hatta Dolmat tampil dengan 12 rekaan khas sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Untuk musim perayaan Aidilfitri kali ini, saya tampilkan rekaan yang membawa kita kembali kepada asas. Potongan-potongan koleksi Kasyaf Classic akan membawa kita ke era 50-an dan 60-an.


HATTA (lima dari kiri) bersama barisan model yang memperagakan koleksi fesyen rekaannya, Kasyaf Classic 2011 Raya Collection.


"Justeru, saya banyak menggunakan renda sebagai fabrik utama yang menyerlahkan konsep klasik dan elemen tradisi yang dihasilkan.

"Ia sekali gus menghasilkan busana yang memberikan mod klasik tetapi rekaannya tampak kontemporari," terangnya.

Hatta memberitahu, tidak seperti busana tradisi konvensional yang menggunakan kain renda bermotifkan bunga-bungaan, dia memilih renda dengan motif lebih moden.

"Penggunaan renda meninggalkan elemen tradisional dan klasik tetapi rekaan fabrik dan perincian memberikan mod berbeza iaitu kontemporari," katanya.

Tambahnya, pemilihan fabrik tradisi seperti songket dan satin turut mengutamakan rekaan bermotif moden.

"Selain itu, untuk rekaan kali ini juga saya menggunakan warna-warna mood raya seperti firus dan coklat cair serta tidak menggunakan warna-warna yang terlalu menonjol.

"Rekaan-rekaan saya dikenali melalui signatur perincian. Justeru, pemilihan warna penting supaya rekaan tidak nampak terlalu sarat serta tidak menenggelamkan perincian," katanya.

Jelas Hatta, perincian utamanya ialah manik dan kristal yang ditatah di atas fabrik dan sulaman serta menggunakan teknik jurai.

"Kombinasi fabrik, rekaan dan perincian menjadikan koleksi kali ini bukan sahaja sesuai dipakai semasa meraikan perayaan tetapi juga sesuai dipakai untuk menghadiri pelbagai acara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: