|
|
KEINDAHAN emas bukan sahaja pada kilauan warnanya tetapi rekaan menarik yang bermotifkan bunga-bungaan. Ia nampak serasi dengan penampilan wanita yang berada di dalam kelasnya tersendiri.
Alamanda menampilkan kerawang bunga-bungaan dalam siri Anggun yang ditempa daripada emas 916. Ia bukan sahaja menampilkan keindahan, malah menerapkan unsur tradisional yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Pengarah Eksekutif Poh Kong, Christine Choon berkata, Anggun adalah cetusan ilham yang halus berseni dan bersendikan keindahan eksotika. Malah, keunggulan reka bentuk dan ketelitian yang diterapkan dalam penghasilan set perhiasan itu mampu melahirkan naluri gaya yang mempesona dan tersendiri.
"Sama seperti koleksi Anggun yang terdahulu, koleksi Alamanda turut menampilkan perhiasan loket, rantai, gelang tangan, kalung serta subang dalam pelbagai saiz. Ia juga amat menarik jika disuai padan dengan aksesori sedia ada.
"Kami cenderung untuk mengetengahkan Anggun sebagai suatu karya seni yang amat halus dan teliti buatannya. Ia mengadunkan citra alam yang disulami garis-garis lengkung, lantas menyimpul indah unsur tradisional dan moden.
"Inilah ciri yang meronai dan menghidupkan Anggun sebagai seni tampak yang canggih dan unggul," ujar Christine.
Menurut Christine, kehalusan corak ukiran yang menjadi lambang keistimewaan Anggun telah ditempa dengan penuh berhati-hati dan teliti.
"Moto kami amat mudah iaitu memenuhi impian setiap wanita. Justeru, setiap perhiasan telah direka agar mampu menyerlahkan penampilan dan menyuntik rasa yakin dalam diri setiap wanita setiap kali mereka memakai perhiasan ini," katanya.
Seperti mana koleksi Poh Kong yang lebih awal, iaitu Orkid, Bunga Raya dan Manja, Alamanda yang hadir dengan slogan See the Beauty, Capture the Memories masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang penuh daya tarikan, pesona serta keanggunan yang memikat.
"Kami mendapat ilham dan rangsangan berdasarkan pemerhatian setelah menghadiri banyak pameran barangan kemas di peringkat global di samping meneliti arus aliran terkini dalam reka bentuk perhiasan dan mengkaji karya tokoh-tokoh seni terkemuka," ujar Christine.
Dalam koleksi terdahulu, Manja direka khas untuk kanak-kanak merangkumi set halus antaranya rantai, gelang, cincin dan subang. Koleksi Orkid pula menampilkan aksesori dewasa termasuk loket yang begitu sesuai dipadankan bersama baju kurung atau kebaya.
Sementara itu, koleksi bunga raya pula direka khas sebagai mengingati bunga kebangsaan Malaysia dan mewakili konsep patriotik 1 Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: