|
|
LEBIH empat tahun lalu, ketika baru tiga hari menjejakkan kaki di Malaysia, pemuda kacak dari Albania, Marioglen Xhumari disapa orang yang tidak dikenali sewaktu dia berjalan-jalan ke KLCC. Seseorang memperkenalkan diri daripada agensi peragaan dan mahu melamarnya.
Sebagai seorang yang asing dia akui terkejut, namun menerima pelawaan dan menjalani sesi ujibakat. Ternyata dia memiliki tuah apabila mendapat tempat mengisi slot sebuah iklan televisyen.
Selepas itu banyak iklan menampilkan wajahnya dapat disaksikan. Malah kempen beli barangan buatan Malaysia yang masih diiklankan di kaca televisyen juga turut menampilkan Marioglen atau lebih mesra disapa Mario.
“Alhamdulillah seronok juga dapat peluang berlakon iklan di sini, dapatlah saya menambah wang saku,” katanya yang turut muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.
Sepanjang tempoh itu, Mario akui pernah melalui pengalaman kurang manis apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Nasib baik dia segera menyedari sedang ditipu lalu mengelak diri.
“Saya diterima berlakon dalam sebuah iklan baru-baru ini. Tawarannya hanya pelakon tambahan sahaja. Tapi saya hairan apabila diminta membawa sehingga lapan persalinan.
“Saya rasa diri saya ditipu dan segera menarik diri,” kata Mario yang kini turut diurus oleh Jamal Tommy Talent Agency.
Menyentuh mengenai sambutan Ramadan, Mario yang sedang menyiapkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan mengakui jadual berbuka puasanya tidak menentu memandangkan jadual kuliahnya lebih banyak pada waktu malam.
“Biasanya pelajar Muslim akan berehat sekejap untuk berbuka puasa dan selepas itu menyambung kuliah semula,” katanya yang ditemui ketika menjalani ujibakat sebuah iklan yang memerlukan wajah orang putih di studio Jamal Tommy, Selasa lalu.
Menyentuh pasal bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, Mario akui terkenang kemeriahan berpuasa di negaranya. Lazimnya setiap hari ada sahaja keluarga dan kenalan yang mengundang berbuka puasa di rumah mereka.
“Sehingga ke hujung Ramadan ahli keluarga bergilir-gilir mengajak orang berbuka puasa di rumah. Itulah budaya berbuka puasa yang menarik di negara saya.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, saya rasa sama sahaja, semua orang akan mengunjungi rumah orang tua mereka. Kami di Albania juga mengamalkan budaya yang sama. Cuma di sini agendanya lebih sikit apabila ramai orang menganjurkan rumah terbuka.
“Saya pernah diajak ke rumah terbuka seorang kawan, seronok juga dapat pengalaman berbeza di tempat orang,” katanya yang hanya akan beraya bersama kawan-kawan sahaja.
Mario juga belum merancang apa yang bakal dilakuklan selepas tamat pengajian nanti. Malah tidak menolak kemungkinan untuk terus menetap di Malaysia sekiranya dapat tawaran kerja yang baik di sini.
“Negara kami kecil sahaja, hanya sekitar sejuta penduduk. Sebaliknya 1.5 juta orang Albania tinggal dan bekerja di luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: