SEHINGGA hari ini, jelitawan Fauziah Latiff tidak dapat melupakan siri penyelaman ‘Merdeka Dive’ di Pulau Bidong, Terengganu pada 28 hingga 31 Julai lalu.
Misi perjalanan yang disifatkan cukup berbeza berbanding sebelumnya. Apabila fokus kali ini lebih kepada tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang di Galeri Dasar Laut Pulau Bidong.
Untuk tujuan itu, duta Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral Malaysia) ini merealisasikan impian tersebut bersama 60 ahli lain termasuk Presidennya, Jamhariah Jaafar.
Mereka menyelam bersama sehingga 15 meter kedalaman sebelum tiba ke lokasi sasaran. Persiapan dan latihan dilakukan pada hari Jumaat (29 Julai) sebelum upacara rasmi pada keesokan harinya.
Menariknya, penghormatan rasmi dilakukan penuh adat dan tertib. Seperti di perhimpunan sekolah ada seorang konduktor di hadapan bertindak mengetuai nyanyian lagu kebangsaan iaitu Negaraku.
Sementara, ahli Coral Malaysia yang lain dikehendaki beratur di hadapannya sebelum upacara naik bendera dilakukan oleh wanita yang mudah disapa Jee ini.
“Biarpun masing-masing tidak mendengar nyanyian Negaraku kerana memakai alat pernafasan, tapi bunyi buih yang keluar dari corong itu sudah memadai.
“Saya yang duduk di hadapan mereka pula sedaya upaya memasang telinga memastikan dendangan Negaraku seiring dengan perbuatan menarik tali Jalur Gemilang,” ceritanya sewaktu bertemu di pejabat Broadway Acre yang terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Seiring dengan itu, gerak badan Jee cukup bersemangat bercerita perincian kenangan penuh makna di lokasi yang turut meletakkan enam replika warisan Terengganu di situ.
Ia terdiri dari replika Gerbang Negeri Terengganu, Batu Bersurat, tepak sirih, tengkolok, keris dan perahu payang selain tambahan lori dan bas.
Pulau Bidong terletak di Timur Laut perairan Terengganu iaitu kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Terengganu. Pulau Bidong juga dikenali sebagai ‘syurga bagi penyelam skuba’ disebabkan keadaannya yang bebas daripada pembangunan melampau.
Program selama empat hari itu turut mendapat sokongan penuh dari pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia sepanjang berada di sana.
“Kami menyelam semata-mata untuk menyatakan rasa cinta terhadap negara. Tidak kira sama ada di daratan atau lautan. Meskipun tak besar, tapi sudah memadai.
“Sambil menyelam skuba, menjalankan aktiviti pemuliharaan terumbu karang, dapat juga menyatakan rasa bangga menjadi warganegara Malaysia,” sambungnya lagi.
Kepuasan diri
Mengulas tentang kepuasan menyelam skuba, wanita ini melemparkan senyuman menawan. Duta produk kecantikan SK-II itu memberitahu dia cukup mementingkan soal pengalaman berbanding kepuasan sendiri.
Banyak perkara yang menyebabkan dia berfikir di kala perseorangan di lautan yang cukup meluas itu.
“Jika anda rasa sudah cukup besar jika di atas darat, cuba rasakan situasi ketika menyelam ke dasar laut. Di situ, anda akan terasa kecil, bersendirian dan tiada sesiapa yang akan menolong andai berlaku kecemasan.
“Begitu juga dengan kehidupan. Buat apa nak berbangga dengan kemewahan dan apa sahaja di bumi. Sebab bila tiba masanya, anda akan pergi berseorangan menghadap-Nya,” dedahnya tentang apa yang dialami setiap kali berada di alam marin.
Pada masa yang sama, Jee memberitahu bahawa keinsafan timbul setiap kali dia memulakan aktiviti menyelam sejak tahun 2000.
Perincian tentang kehidupan sebenar meningkatkan tahap kesedaran tentang alam semulajadi seperti mana yang dirasai tatkala ini.
Semua aktiviti Coral Malaysia boleh diketahui menerusi laman web http://coralmalaysia.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: