Sunday, August 14, 2011

Artis ceriakan anak yatim


Peluang bergambar dengan artis tentunya tidak akan dilepaskan oleh anak-anak yatim yang diraikan pada malam itu.


SUDAH 14 hari umat Islam menyambut Ramadan yang hadirnya cuma sekali saban tahun.

Dalam keberkatan Ramadan ini, selain kita berkongsi rasa kerendahan hati antara satu sama lain, anak-anak yatim tentunya merupakan golongan yang paling banyak mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Walau tidak sebesar mana pemberian dan pertolongan yang diberikan, itu semua bukanlah ukurannya.

Ini kerana apa yang penting adalah keikhlasan yang diselitkan dalam sesuatu pemberian itu yang tentunya dapat memberikan senyuman buat setiap tangan yang menerima.

Pendekatan inilah yang digunapakai oleh pihak Hotel Starpoints Kuala Lumpur (HSKL) melalui penganjuran program Sanubari Bersama Anak-Anak Yatim -1Hati, 1Ramadan, 1Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Ternyata, ruang legar hotel berkenaan yang bertempat di Jalan Masjid India riuh sekali pada malam itu apalagi peluang untuk berbuka puasa bersama 60 anak yatim bukanlah sesuatu yang seringkali mampu diperolehi.

Kesemua anak-anak yatim yang didatangkan dari Pondok Penyayang Raudhah, Gombak itu diraikan dalam suasana ceria di Restoran Kababish hotel berkenaan.

Menunggu waktu berbuka merupakan saat yang paling dinantikan oleh semua.

Usai beratur mengambil makanan, kesemua mereka yang dipantau oleh penjaga mereka tenang duduk di tempat masing-masing menunggu azan berkumandang.

Sempat juga terlihat beberapa adik kecil mencuit antara satu sama lain dalam gurauan yang mungkin mereka sahaja yang tahu.

Usai berbuka, tanpa disuruh, masing-masing bergegas menuju ke bilik solat yang disediakan. Aduh...sejuk hati mata yang memandang.

Kembali semula ke ruang legar restoran hotel, anak-anak ini kemudiannya dihiburkan oleh sekumpulan artis jemputan.

Antara kelibat artis yang kelihatan pada malam itu termasuk Daus AF, Zain Saidin, Fida Ibrahim, Ery Putra, Mohamad Mentor, Putri Mardiana, Nieyl, Shajiry, Dior, Azizi dan Riot kumpulan Kool.

Tidak ketinggalan, dua artis Singapura, Zenny dan Lin Malik yang turut diundang untuk menghiburkan anak-anak yatim tersebut yang rata-ratanya berusia antara 7 hingga 15 tahun.

Suasana ketika ini cukup meriah. Mana tidaknya, melihat gelagat artis melayan anak-anak ini bagai tidak cukup tangan.

Ada yang sibuk menuangkan air untuk adik-adik kecil yang masih lagi kehausan dek penangan berpuasa, ada juga yang sedari tadi rancak berborak.

Barangkali adik-adik ini mahu mengenali lebih mendalam dengan artis kesayangan mereka.

Tak cukup dengan itu, persembahan demi persembahan juga dijadikan aktiviti selingan tatkala ada yang masih menjamu selera.

Dari lagu yang membuai perasaan sehinggalah yang rancak, seleksi lagu dendangan nampaknya mengena dengan jiwa anak-anak ini yang tak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Keseronokan juga terpancar di wajah masing-masing apabila pengacara majlis mengumumkan saat pemberian sumbangan duit raya dan hamper.

Dalam keterujaan, pantas adik-adik ini beratur dengan tertib.

Sesekali ternampak Fida dan beberapa orang artis lain bertindak ala-ala warden membantu mengaturkan anak-anak ini demi memudahkan kelancaran majlis. Lucu juga!

Kesemua sumbangan itu telah disampaikan oleh Pengurus Besar HSKL, Melvin Mohan.

Ketika ditemubual, jelas sekali Melvin cukup gembira dengan program yang disediakan.

“Kami pihak hotel amat gembira kerana berpeluang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak ini.

“Kami juga harap agar sumbangan yang diberikan ini dapat memberikan kegembiraan buat mereka yang kurang bernasib baik terutama ketika semua umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan ini.

“Kami juga akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan demi membolehkan kami terus membuat amal kebajikan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Melvin turut menjemput semua yang berminat untuk sama-sama berbuka puasa di hotel berkenaan yang menawarkan pakej berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

Juadah yang disediakan bukan sahaja masakan Melayu, tetapi makanan Pakistan yang disedia dan dimasak oleh chef yang diterbangkan khas dari Pakistan.

Untuk itu, bagi mereka yang berminat, hubungi 03-2698 1866 untuk tempahan awal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: