Tuesday, August 2, 2011

Maria diganggu peminat 3 pagi


MARIA Tunku Sabri puas dan bangga dengan penghasilan buku panduan Jalan-Jalan Cari Makan Maria Tunku Sabri.


MEMANG sudah lama Maria Tunku Sabri memasang impian mendokumentasikan dan menerbitkan sebuah buku mengenai panduan makanan di negara ini.

Sementelah pernah mewarnai kaca televisyen sebagai hos program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) selama 12 musim, Maria mahu menggunakan peluang itu sebaik mungkin bagi merealisasikan impiannya.

Namun, kerana kesibukan sebagai pengacara, penerbit rancangan dan memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri serta ibu, rancangannya itu tergendala seketika.

Apatah lagi Maria begitu fokus dan komited terhadap kerjanya. Seboleh-bolehnya dia enggan mencampuradukkan antara kerjaya dan peribadi hanya kerana mahu melunaskan impiannya.

Tetapi, selepas berbincang dengan suami, Ahmed Nazri Abdul Malik dan mendapat lampu hijau daripadanya, barulah Maria berani meneruskan hasrat itu.

Berkat kesabaran tersebut, akhirnya Maria mampu berbangga apabila buku pertamanya, Jalan-Jalan Cari Makan Maria Tunku Sabri (JJCMMTS) berjaya diterbitkan.

Hanya dengan harga RM5 senaskhah, Maria meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat direktori makanan hasil ilhamnya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Apatah lagi dengan tibanya bulan Ramadan ini, Maria memberitahu, JJCMMTS merupakan rujukan terbaik buat mereka yang mahu mencari destinasi untuk berbuka dan bersahur.

"Saya fikir buku ini diterbitkan tepat pada masanya khusus buat rakyat Malaysia yang gemar mencari lokasi untuk menikmati hidangan yang enak-enak.

"Bukan itu sahaja, diharapkan dengan adanya buku ini, saya tidak lagi diganggu peminat sehingga pukul 3 pagi hanya semata-mata mahu bertanya lokasi yang menyediakan makanan terbaik," jelas Maria sambil ketawa.

Bekas pramugari Malaysian Airlines itu ditemui usai pelancaran JJCMMTS yang berlangsung di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Buku itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Turut hadir barisan personaliti TV3 dan beberapa artis popular seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Uji Rashid, Anne Ngasri, David Teo, Kenchana Devi, Danny X-Factor, Dharma Harun Al-Rashid, Syazwan Zulkifly serta Adam Shah.

Biarpun JJCMMTS dilihat mudah untuk dihasilkan, tetapi bagi Maria mengarang buku itu tetap ada cabarannya tersendiri.

"Bayangkan, saya perlu mencari lokasi, mencatatkan segala maklumat dan merasa makanan yang disediakan di setiap restoran yang terpilih.

"Saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada semua pemilik restoran yang saya kunjungi. Sehinggakan ada satu ketika, mereka menghidangkan pelbagai jenis makanan sehingga penuh meja.

"Walhal, saya hanya mahu menampilkan juadah yang menjadi signature dish (makanan kegemaran) di restoran mereka untuk menarik perhatian masyarakat.

"Sesungguhnya kerjasama itu benar-benar membuatkan saya terharu," kata ibu kepada sepasang cahaya mata, Amreel Nuqman, 13, dan Aleeya Nazneen, 5, itu lagi.

Berbicara lanjut, Maria menjelaskan dia mempunyai masa yang cukup suntuk bagi menyiapkan buku yang diterbitkan oleh One C Resources itu.

Atas alasan itu jugalah, dia sendiri tidak cukup tidur untuk memastikan semuanya berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

"Saya sendiri mengorbankan cuti mingguan dengan mengunjungi dua hingga tiga buah restoran yang dipilih sehingga sehari suntuk.

"Itu pun tidak semua restoran di Lembah Kelang dapat dimuatkan dalam buku ini. Kami mahu melihat sambutannya terlebih dahulu.

"Seandainya ia menggalakkan, Insya-Allah, kami akan menerbitkan edisi yang seterusnya. Buat masa ini, kami merancang untuk mengeluarkan dua buah buku lain iaitu Jalan-Jalan Cari Makan Bersama Maria Tunku Sabri 1 Malaysia dan Jalan-Jalan Cari Apa-Apa Sahaja sekitar bulan November ini," jelas bekas finalis Pengacara Jemputan Nona 1994 itu penuh optimis.

Sebagai permulaan, JJCMMTS diterbitkan sebanyak 30,000 salinan di mana 20,000 telah diedarkan ke pejabat kerajaan manakala selebihnya untuk dijual.

Ditanya tentang penggunaan jenama JJCM yang seperti semua sedia maklum merupakan hak milik mutlak TV3, Maria berkata, isu penggunaan hak cipta tidak timbul kerana dia sudah mendapat lampu hijau daripada Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Pada masa yang sama, Maria turut melahirkan rasa rindunya kepada dunia pengacaraan terutama yang berkonsepkan seperti JJCM.

Katanya, seandainya diberi peluang sekali lagi, dia tidak akan menolaknya.

"Sepanjang bulan Ramadan ini juga, saya akan sibuk mempromosikan buku ini dan berbuka puasa di restoran terpilih bersama peminat. Segala maklumat semuanya ada dalam buku tersebut," katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai buku JJCMMTS ini, bolehlah layari laman web www.jjcmmts.com atau hubungi talian 011 12135350/011 12315350.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: