Tuesday, August 2, 2011

Lawak kreatif di Astro Warna


Nizam Sani (dua dari kanan) bersama Abon (kanan), Caca Raja Lawak 4 (kiri) dan Sathiya (dua dari kiri) ketika pelancaran program Lawak Minggu Ini di Petaling Jaya baru-baru ini.


SINONIM dengan program berbentuk lawak jenaka, Astro Warna tampil dengan sebuah lagi rancangan yang dinamakan Lawak Minggu Ini.

Program yang berkonsep stand-up comedy itu akan disiarkan pada pukul 10 malam mulai 5 Ogos dan menampilkan 12 pelawak popular gabungan lama dan baru.

Antara nama yang dibariskan untuk program tersebut ialah Johan, Saiful Apek, Yassin, Abon, Sathiya, Zizan, Nabil, Datuk Jamali Shadat dan Angah Raja Lawak.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa lagi bekas peserta Maharaja Lawak iaitu kumpulan Jambu, Sepah dan Balas.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, saluran tersebut begitu popular dengan program-program komedi.

Katanya, program seperti Spontan, Lawaking, Redah Kasi Pecah dan Maharaja Lawak merupakan antara rancangan yang mencatatkan rating tinggi di kalangan penonton.

"Justeru, program terbaru ini adalah kesinambungan kepada program-program komedi yang ditayangkan di Astro Warna sebelum ini.

"Kami menjangka penerimaan daripada penonton akan terus bertahan jika pengisiannya menggunakan formula yang tepat," katanya pada majlis pelancaran program tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengulas mengenai konsep yang ditampilkan dalam Lawak Minggu Ini, Nizam memberitahu, setiap episod akan menampilkan seorang pelawak bersama dua artis komedi undangan masing-masing.

"Pelawak itu berperanan sebagai hos yang diberi kebebasan untuk mengendalikan rancangan mengikut kreativiti tersendiri.

"Jadi terpulanglah kepada mereka untuk menggamatkan studio dengan gelak ketawa penonton.

"Dalam tempoh sejam, pelawak itu juga perlu mengelolakan sekurang-kurangnya tiga atau empat segmen yang ditetapkannya sendiri," jelas Nizam.

Dalam pada itu, program tersebut turut memberi kejutan kepada setiap pelawak.

Tanpa mereka sedari, Nizam menjelaskan, terdapat satu segmen yang ditetapkan Astro agar pelawak-pelawak tersebut menyanyi secara live sambil diiringi band jemputan.

"Segmen ini dirahsiakan kerana saya pasti, jika diberitahu terlebih dahulu, mereka mungkin tidak akan menerima tawaran untuk menjayakan program ini.

"Segmen itulah yang membuatkan Lawak Minggu Ini sangat mengujakan.

"Bukan mudah untuk melihat pelawak tanah air menyanyi apatah lagi secara live band," katanya.

Walaupun menyedari tidak mudah untuk membuatkan penonton ketawa, Nizam yakin program tersebut bakal mencetuskan lawak kreatif yang mengandungi pengisian lebih cerdik berbanding lawak slapstik yang diamalkan oleh kebanyakan pelawak muda sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: