Tuesday, August 2, 2011

Kak Nita tetap Kak Nita


ANITA Sarawak menjelaskan dia masih lagi aktif dalam dunia seni.


KEHILANGANNYA' daripada dunia seni sejak kebelakangan ini nampaknya telah mengundang cakap-cakap di pihak pihak media. Malah peminatnya turut tertanya-tanya ke manakah perginya penghibur unggul ini.

Manakan tidak, wajahnya memang jarang terpampang di dada akhbar mahupun majalah. Malah, publisiti dan berita tentang kerjaya seninya juga semakin berkurangan sehingga mengundang pelbagai spekulasi.

Ekoran itu, ramai yang mula membuat andaian mengatakan Anita Sarawak sebenarnya sudah tidak minat lagi untuk meneruskan dunia nyanyian dan bersedia mengucapkan selamat tinggal.

Sesungguhnya khabar angin itu memang mengejutkan kerana mustahil Anita mahu meninggalkan dunia seni yang sudah menjadi mata pencariannya untuk lebih empat dekad.

Mengenali Anita yang cukup menjaga profesionalisme sebagai seorang penghibur itu, mana mungkin dia akan pergi tanpa sebarang pesan.

Berpeluang bertemu dengan Anita sewaktu rakaman program Astana Aidilfitri di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini, peluang keemasan itu diambil untuk bertanyakan sendiri kepada tuan punya badan.

Ternyata riak terkejut jelas terpancar di wajah mulus Anita yang tidak menyangka diamnya kebelakangan ini menjadi perhatian peminat dan pihak media.

Sambil ketawa kecil, Anita yang gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Nita itu menjelaskan dia tidak pernah melupakan dunia nyanyian yang telah mengangkat dirinya sebagai penghibur yang tiada tandingan.

"Sebenarnya Kak Nita masih aktif dalam bidang nyanyian dan masih lagi sibuk dengan pertunjukan pentas, persembahan korporat serta makan malam.

"Sebagai contoh, Kak Nita telah diundang untuk menyanyi sempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini dan beberapa persembahan lain termasuk di Singapura.

"Mungkin juga kerana Kak Nita tiada cerita yang hendak dikongsikan dengan peminat membuatkan ramai yang menyangka Kak Nita sudah bersara.

"Sebenarnya, kalau semua hendak tahu, Kak Nita sibuk dengan rakaman program Astana yang sudah pun memasuki musim kedua. Jadi, Kak Nita perlu melupakan dunia nyanyian untuk seketika bagi menumpukan perhatian kepada Astana," ujar Anita dalam nada yang cukup diplomasi.

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Ithnaini Mohd. Taib ini menjelaskan ketika ini dia belum memikirkan soal bersara kerana masih ada beberapa perancangan yang mahu diselesaikannya.

Bagi Anita, seandainya dia mahu mengucapkan selamat tinggal, ia akan dilakukan secara spontan tanpa sebarang ketetapan tempoh untuk melakukannya.

"Kalau Kak Nita mahu bersara hari ini, Kak Nita akan terus melakukannya (sambil memetik jari) tanpa perlu menunggu apa-apa. Tidak pernah Kak Nita merancang bilakah masanya akan bersara.

"Seperti mana yang Kak Nita katakan tadi, dunia nyanyian masih lagi di jiwa Kak Nita. Cuma, kerana kesibukan Kak Nita dengan Astana membuatkan Kak Nita perlu beri fokus untuk memberikan hasil yang terbaik," ujar penghibur yang cukup masyhur dengan lagu Akhirnya Kini Pasti dan Bawalah Daku Pergi ini penuh bersungguh.

Dalam pertemuan itu juga, Anita sempat mengkhabarkan bahawa dia akan bercuti panjang selepas ini dan berkemungkinan dalam tempoh yang agak lama.

Ujarnya, kerana kesibukan bekerja ada kalanya dia tidak mendapat rehat yang sepuasnya dan inilah masanya untuk dia merehatkan badan serta minda bagi memulihkan tenaganya sebelum kembali bekerja kelak.

Menyentuh tentang kerjaya nyanyiannya pula, Anita dengan penuh jujur menjelaskan buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk muncul dengan album mahupun lagu terbaru bagi mengubat kerinduan peminatnya.

Kali terakhir, Anita muncul dengan Asmara 2010 yang merupakan rakaman semula lagu Asmara yang pernah dipopularkan oleh Anneke Gronloh.

Namun pun begitu, jauh di benak hatinya, dia cukup kepingin untuk muncul dengan buah tangan terbarunya termasuk lagu-lagu tradisional.

Namun, katanya, biarlah masa yang akan menentukan segala-galanya untuk dia muncul dengan karya terbaru.

"Memang Kak Nita sendiri rasa rindu sangat mahu merakamkan lagu-lagu tradisional. Sudah lama sebenarnya Kak Nita tidak berpeluang untuk berbuat demikian. Insya-Allah, mana tahu peluang itu akan datang kepada Kak Nita nanti," ujar Anita yang pernah popular dengan lagu-lagu berentak etnik seperti Joget Sayang Di Sayang dan Lodeh Mak Lodeh.

Terima kritikan

Bakat yang dimiliki oleh Anita telah membuktikan bahawa dia bukanlah anak seni sembarangan.

Dia sudah membuktikan kehebatannya sebagai seorang penyanyi dan penghibur sehingga berjaya meletakkan dirinya di tahap paling tinggi sehingga tiada siapa mampu mengambil alih kedudukannya.

Bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi, Anita juga pernah menunjukkan kebolehannya dalam bidang lakonan apabila pernah membintangi filem klasik, Dua Kali Lima pada tahun 1966 dan Mr. Cinderella 2 (2003).

Tidak mahu membataskan bakatnya kepada dua bidang itu sahaja, Anita seterusnya mencabar dirinya dengan mengorak langkah sebagai seorang pengacara sebaik sahaja menjadi wajah eksklusif Astro sejak tahun 2003.

Antara rancangan yang pernah dikendalikannya termasuklah program bual bicara, Anita, Kwek Mambo Anita, Chef Diva Anita Sarawak dan Dekorasa Bersama Anita Sarawak.

Kesemua rancangan itu mempunyai pendekatan serta kandungan yang berbeza sekali gus memberikan pengalaman baru untuk Anita sebagai hos program.

Berkali-kali Anita menjelaskan kehadirannya di gelanggang pengacaraan bukanlah mahu meniru sesiapa.

Sebaliknya, dia lebih selesa menjadi dirinya sendiri selain dibantu dengan skrip untuk memantapkan lagi perjalanan setiap program.

Begitu juga dengan program Astana yang disifatkan Anita sebagai rancangan yang memiliki nilai elegan dan eksklusifnya sendiri setanding dengan kandungan program tersebut.

Katanya lagi, dia cukup sedar dengan kritikan dan dan menerimanya dengan positif sepanjang mengacarakan Astana. Malah, dia juga mengakui dia berasa kekok dan tidak biasa dengan keadaan sekeliling sewaktu mula-mula melibatkan diri dengan Astana.

"Begitu juga dengan krew produksi yang barangkali terbatas pergerakan mereka dengan adanya Kak Nita di lokasi sehingga membuatkan mereka juga berasa kekok (ketawa).

"Kak Nita sendiri memberitahu kepada semua bahawa jangan rasa ada jurang di antara kami kerana untuk menjayakan sesebuah program itu ia memerlukan semangat kerjasama yang sangat kuat.

"Semuanya perlu mengambil masa dan Kak Nita sendiri mengambil inisiatif untuk memperbaiki segala kelemahan Kak Nita. Semua orang membuat kesilapan kerana tiada siapa yang sempurna.

"Mengenai gaya penyampaian Kak Nita dalam Astana, ia adalah stail Kak Nita sendiri di mana Kak Nita menyuntik elemen lincah dan riang seperti mana personaliti Kak Nita yang dikenali ramai. Kak Nita tetap Kak Nita. Tiada siapa yang mampu mengubah hakikat itu," jelas Kak Nita tanpa selindung.

Musim kedua Astana

Dalam masa yang sama, Anita melahirkan rasa syukurnya apabila Astana disambung untuk musim kedua.

Mendapat reaksi positif dan menggalakkan daripada musim pertama, Anita menjelaskan musim kedua akan menyaksikan lebih ramai selebriti, artis dan usahawan ternama yang sebelum ini tidak mendapat ruang publisiti yang luas.

Sudah pun selesai menjalani rakamannya beberapa hari lalu, Anita melahirkan rasa puas hatinya apabila semua yang dirancang berjalan dengan lancar.

Untuk musim kedua Astana, anak kelahiran Singapura itu menjelaskan sebagai hos, dia banyak mempelajari selok-belok dunia pengacaraan dengan lebih mendalam lagi selain memperbaiki kelemahannya sebelum ini.

"Kali ini, Kak Nita diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan melontarkan idea sendiri tetapi masih berlandaskan skrip yang telah ditetapkan.

"Kak Nita pula lebih selesa menyediakan semuanya sendiri termasuklah mencari penaja serta teman-teman yang mahu ditampilkan dalam Astana. Kak Nita tidak mahu susahkan sesiapa dan biarlah waktu rakaman, semuanya dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, pihak produksi menerimanya dengan baik. Malah, mereka juga memberi input kepada Kak Nita untuk memantapkan lagi Astana musim terbaru ini," kata wanita berusia 59 tahun itu lagi.

1 comment:

  1. bodo... poyo... perasan diva... kak nita konon... more like granma 2 me... f'kin freak of nature...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: