Monday, August 15, 2011

KPTM KL lancar program YES



Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuala Lumpur melancarkan pusat inkubator atau kiosk usahawan Young Entrepreneur Square (YES), bertujuan mewujudkan persekitaran usahawan dalam kalangan warga KPTM khususnya penuntut.

Projek yang dilaksanakan awal Julai lalu, adalah program usaha sama antara Hal Ehwal Pelajar dan Hal Ehwal Akademi KPTM KL yang dapat membuka peluang kepada penuntut dalam usaha memberi pendedahan terhadap bidang keusahawanan.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihak KPTM menetapkan keusahawanan sebagai salah satu Pelan Strategik KPTM 2011 hingga 2015 di mana ia menyasarkan 10 peratus graduan yang tamat pengajian akan menjadi usahawan.

“Antara pendekatan dan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri penuntut di KPTM ini adalah untuk menerapkan unsur-unsur keusahawanan.

“Jika unsur itu ada dalam diri ia akan menjadi nilai tambah kepada seseorang itu apabila keluar kelak,” katanya pada majlis pelancaran Program YES di Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Mohd Rosdi Ismail; Pengarah Urusan Mydin Holdings Sdn BHd, Datuk Ameer Ali Mydin; dan Pengasas Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Yunus.

Sohaimi berharap selepas pelancaran program ini, kegiatan usahawan akan menjadi lebih rancak dan lebih ramai penuntut menunjukkan minat untuk menceburi bidang perniagaan di dalam mahupun di luar kolej.

Sementara itu, pusat inkubator ini akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk mengkoordinasi kegiatan inkubator seluruh KPTM di samping menjadi pusat pembayaran bil utiliti dan bil telekomunikasi selain kemudahan jualan produk telekomunikasi daripada syarikat Telco Malaysia terpilih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: