Monday, August 15, 2011

CGC prihatin, rai golongan OKU



Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) penjamin kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana, menyambut ketibaan Ramadan dengan menjadi tuan rumah meraikan golongan orang kelainan upaya (OKU) dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puncak Jalinan Kasih, Batang Kali, Selangor.

Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, program begini telah menjadi tradisi CGC iaitu berbuka puasa dan solat jemaah bersama golongan kurang bernasib baik.

“Acara tahunan majlis berbuka puasa ini memberi peluang kami meluangkan masa dengan golongan kurang bernasib baik dan membantu menanam kesedaran terhadap tanggungjawab kami kepada insan memerlukan.

“Kami harap sumbangan tidak seberapa ini dapat mengurangkan beban mereka dan mendatangkan keceriaan pada musim perayaan ini,” katanya.

Di samping menyediakan majlis makan malam dan moreh, CGC turut memberi sumbangan tunai berjumlah RM8,300 kepada badan Pemulihan Dalam Komuniti, Puncak Jalinan Kasih yang diperoleh daripada sumbangan ikhlas syarikat dan juga warga kerja CGC.

Majlis penyerahan cek disempurnakan oleh Wan Azhar sendiri dengan menyerahkannya kepada Pengerusi, Puncak Jalinan Kasih, Othman Said.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: