PELABURAN...Najib menyaksikan pertukaran dokumen antara Wingert (kiri) dan Ahmad Shukri di Putrajaya, semalam.
SOLEXEL Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Solexel Inc, berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) merancang membina kemudahan pembuatan di Senai Hi-Tech Park (SHTP) untuk mengeluarkan sel dan modul solar berhablur membabitkan pelaburan berjumlah RM2.8 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelaburan syarikat berkenaan di kawasan seluas 40 hektar di Fasa 1, Zon Industri SHTP itu juga akan menyediakan 2,300 peluang pekerjaan dan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi di wilayah Iskandar Malaysia.
“Projek sel solar Solexel ialah satu daripada sektor teknologi yang digalakkan kerajaan ketika ini untuk menggalakkan industri hijau dan tenaga diperbaharui,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Solexel dan SHTP di Putrajaya, semalam. MoU itu ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Solexel Inc, Michael Wingert serta Ketua Pegawai Eksekutif SHTP, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukriz Mahathir dan Pengerusi SHTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman.
Najib berkata, pelaburan Solexel di Malaysia juga termasuk penyelidikan dan pembangunan (P&P) untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi photovoltaic (PV) dunia.
Malah, katanya, ia turut membantu menarik dan membina rangkaian pembekal tempatan bagi bahan kimia dalam pembuatan berkenaan.
Beliau berkata, sebagai sebahagian inisiatif kerajaan untuk menjadikan negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, negara memerlukan asas yang kuat dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Menurutnya, beberapa dekad lalu, kerajaan memperoleh kejayaan dalam membawa pelaburan langsung asing (FDI) membabitkan projek berteknologi tinggi dengan mencipta Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: