Wednesday, August 24, 2011

Terkesima ribuan peminat histeria

KACAK...Hyun Joong kini menjadi kegilaan remaja.
KACAK...Hyun Joong kini menjadi kegilaan remaja.

FENOMENA yang dicetuskan Kim Hyun Joong sudah terbukti di Korea. Kini dia terus melebarkan pengaruhnya ke serata Asia, malah di mana juga muzik dan lakonan artis Korea diterima.

Bukan saja kacak dan memiliki susuk tubuh yang tinggi lampai, Hyun Joong juga berbakat besar lalu menjadi jejaka idaman jutaan wanita.

  • Foto

    AURA...cara Hyun Joong berfesyen turut jadi ikutan peminat.

  • Foto

    SAHABAT...kumpulan SS501 tetap memberikan sokongan kepada Hyun Joong untuk bergerak solo.

  • Foto

    PUJAAN...Hyun Joong menjadi kegilaan gadis remaja.

  • Foto

    LAYAN...kunjungan Hyun Joong ke Malaysia hujung minggu lalu memberi peluang kepada peminat bertemunya.

  • Foto

    HYUN JOONG...mahu adakan konsert di Kuala Lumpur tahun depan.

Vokalis kumpulan SS501 itu kini memulakan perjalanannya ke peringkat antarabangsa bagi mempromosikan mini albumnya yang berjudul Break Down.

Ia memuatkan tiga lagu - Kiss Kiss, Break Down dan Please.


Tidak mempertikaikan vokalnya, Hyun Joong yang mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak 2005 semakin menunjukkan kematangan vokalnya walaupun bergerak solo.


Berkesempatan datang lagi ke Malaysia, Sabtu lalu dijadikan sebagai ruang promosi untuk projek beliau yang lebih besar konsert solo di Malaysia pada Disember ini. Tentu itu berita yang cukup baik bagi semua peminatnya di negara ini.

“Sekarang saya sedang dalam proses menyiapkan album mini kedua dan dijangka akan dilancarkan pada Oktober nanti. Selepas itu, saya akan mengadakan satu siri jelajah ke seluruh Asia bagi mempromosikan album itu.

“Sekali gus kedatangan saya kelak bukan sekadar mempromosikan album kedua, tetapi juga untuk membuat konsert khas buat peminat saya yang ada di sini. Malaysia juga istimewa di hati saya,” katanya ketika sidang media di Hotel Hilton, di sini, Jumaat lalu.

Berusia 25 tahun, Hyun Joong berkata, masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi menghasilkan album Break Down. Pertama kali menghasilkan album itu sendirian, dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Uniknya dia banyak menggunakan rona hitam bagi menaikkan lagi pesona dan karakter dirinya.

Beliau yang popular menerusi drama bersiri Boys Over Flowers melalui 8TV, ternyata menjadi kegilaan remaja bukan hanya di negara asalnya, malah di negara lain. Dalam kisah itu, dia memegang peranan sebagai Yoon Ji Hoo.

Namun, ketika menjayakan promosi jelajah di Jepun pada September 2009 untuk Boys Over Flowers, dia me�ngejutkan peminatnya apabila disahkan menghidap H1N1.
Ia juga menyebabkan dia tidak dapat hadir majlis International Drama Awards di Seoul ketika itu dan diwakili rakan-rakannya dalam SS501.

Terbaru Hyun Joong sangat terkedu dengan mendapat sambutan hangat daripada peminat di Malaysia. Dia akui perbezaan bahasa bukan penghalang bagi dia untuk menunjukkan bakat dan diterima ramai.

Tampil lebih matang, Hyun Joong akui dulu tidak pernah berniat untuk meninggalkan SS501 semata-mata mahu bergerak solo. Namun, dia sekadar memenuhi permintaan peminat yang mahukan dia menghasilkan album solo. Mulanya, dia enggan berbuat sedemikian kerana komitmen bersama kumpulan, namun akhirnya atas sokongan ahli SS501 sendiri iaitu, Heo Young Saeng, Kim Kyu Jong dan Kim Hyung Jun, dia mengorak langkah bergerak sendirian.

“Saya awalnya risau tidak dapat membahagikan komitmen terhadap kumpulan dan fokus kepada pembikinan album sendiri, tapi rakan-rakan saya dalam kumpulan itu percaya saya boleh melakukannya.

“Menuruti nasihat rakan-rakan, saya akhirnya menghasilkan album pertama ini dan terkejut dengan sambutan memberangsangkan daripada peminat,” ujarnya.

Walaupun selalu beraksi di atas pentas, menyanyi seorang diri tanpa ahli kumpulan yang lain membuatkan dia terasa gementar. Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalangnya untuk meneruskan niat yang sudah disematkan di dalam hati. Dengan keyakinan yang kuat, Hyun Joong meneruskan perjalanan kariernya dengan bersungguh-sungguh.

Dia yang dilahirkan di Seoul bukan hanya bijak menghiburkan penonton ketika di atas pentas, tetapi dia aktif bersukan. Jarang sekali kita mendengar selebriti rajin meluangkan masa untuk beriadah, tetapi berlainan dengan Hyun Joong yang sangat aktif bermain bola sepak sehingga dinobatkan sebagai selebriti-atlit kerana membantu pasukannya memenangi pertandingan bola sepak.

Sementara itu, sehari selepas sidang media itu diadakan satu sesi ramah mesra bersama peminat diadakan di Grand Ballroom di Tingkat 5, The Garden, Mid Valley Megamall.

Dia yang muncul dengan persalinan tuksedo putih-kelabu, kira-kira jam 4.10 petang memberikan reaksi terkesima apabila melihat separuh dewan yang mampu membuatkan ribuan penonton itu dibanjiri peminat bersama jerit histeria.

Tidak pernah menyangka peminatnya sebegitu ramai di Malaysia, Hyun Joong berjanji untuk kembali ke Malaysia seperti yang disebut dalam sidang medianya.

“Saya sukakan negara ini. Peminat di sini membuatkan saya berasa terharu. Saya mulanya bimbang kalau-kalau kunjungan saya di sini disambut dingin, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Saya berjanji untuk kembali ke Malaysia dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi konsert saya awal tahun depan,” katanya meninggalkan dewan selepas kira-kira 60 minit melayani peminat.

Sesi itu turut dimanfaatkan Hyun Joong untuk menceritakan keunikan album solonya, Break Down yang tidak hanya menggegarkan hati pendengar dengan alunan muzik tarian, tetapi setiap lagunya juga diterjemahkan ke muzik video.

Hyun Joong juga tidak menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan penyanyi Malaysia jika mempunyai peluang dan artis yang digandingkan bersesuaian genre muziknya. Kita tunggu siapa calonnya.


PROFIL

NAMA PENUH: Kim Hyun Joong
TARIKH LAHIR: 6 Jun 1986
USIA: 25 tahun
TEMPAT LAHIR: Seoul, Korea Selatan
KERJAYA: Pelakon, penyanyi, model, penari, pengacara
PENDIDIKAN: Mahasiswa Universiti Cheongwoon dalam bidang pengurusan perancangan persembahan.
DRAMA: Boys Over Flowers, Playful Kiss, Dream High
IKLAN: Samsung Anycall Blue, Hotsun Chicken, Converse, T.I For Men, Elite Uniform

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: