Tuesday, August 2, 2011

Kepuasan Syafinaz di depan kamera

Bagi penonton setia stesen televisyen berkonsepkan Islamik, TV Alhijrah, pastinya mengenali wajah wanita manis ini.

Sejak setahun lalu, pemilik nama Syafinaz Yunus ini mula menghiasi kaca televisyen sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di stesen berkenaan.

Wanita yang berasal dari Melaka ini sebenarnya bukanlah baru dalam bidang penyiaran, kerana pembabitannya sudah mencecah lima tahun.

Mungkin ada yang menyedari, Syafinaz atau lebih mesra dipanggil Finaz sebelum ini pernah memikul tanggungjawab sama di TV9 sebelum bertukar ke TV Alhijrah.

Menyingkap bagaimana boleh terjebak dalam bidang penyiaran, Finaz berkata, pada awalnya dia tidak minat bekerja di depan kamera.

“Semasa kecil, saya bercita-cita menjadi peguam namun ibu saudara menyedari saya mempunyai bakat di depan kamera dan mencadangkan agar saya menyambung pelajaran di Akademi TV3 dalam pengkhususan bidang penyiaran,” katanya kepada Zass.

Menurut Finaz, selepas tamat pengajian, dia menjalani latihan industri di RTM sebelum diterima bekerja di stesen NTV7 sebagai wartawan penyiaran.


‘Multi tasking’ dalam kerjaya

Walaupun tidak begitu lama berkhidmat, Finaz diberi pendedahan mengendalikan pelbagai kerja. Dari situlah Finaz mempelajari selok-belok menjadi seorang penyampai berita yang bagus.

“Saya bertugas di NTV7 selama enam bulan. Kemudian saya diarahkan membantu stesen TV9 yang ketika itu baru memulakan siaran berita. Dari situlah bermulanya penglibatan saya dalam dunia penyiaran.

“Selama empat tahun di TV9, saya menimba pelbagai pengalaman, termasuklah belajar menjadi seorang yang ‘multi tasking’. Bukan sahaja wartawan, malah saya juga yang akan menyunting setiap berita yang saya rakam dan akhirnya saya akan menyampaikan berita itu menerusi Berita TV9,” katanya.

Dalam tempoh itulah, Finaz banyak memperbaiki dirinya dan dia antara pembaca senior di saluran itu. Namun, jodohnya bersama TV9 tidak panjang apabila Finaz kini berhijrah ke stesen TV Alhijrah. Bukan kacang lupakan kulit, sebaliknya Finaz menganggap penghijrahannya sebagai anjakan baru dalam kerjayanya.

“Menjadi sebahagian tenaga kerja di stesen televisyen yang baru bukan perkara mudah, namun saya berbangga kerana diberi peluang menjadi perintis.

“Malah, pengalaman yang diperoleh sebelum ini memberi banyak kelebihan kepada saya untuk membantu operasi TV Alhijrah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: