HAI manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), dan Kami jadikan kalian berbagai bangsa dan suku agar kalian saling kenal-mengenali (antara satu sama lain). (al-Hujurat: 13).
ISLAM amat menitikberatkan berkaitan perhubungan yang baik sesama manusia khususnya di kalangan ummah iaitu persaudaraan seagama (ukhuwah Islamiyyah).
Bahkan Islam menganjurkan penganutnya agar saling menjalinkan kasih sayang (mahabbah), hormat-menghormati, bekerjasama, bertimbangrasa, tolong-menolong, nasihat-menasihati dan berbaik sangka.
Itulah keindahan Islam, agama syumul yang menggalakkan kepada kesejahteraan ummah terutamanya di dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Malah pada bulan Ramadan ini juga umat Islam dianjurkan supaya memberi makanan kepada mereka yang berpuasa. Sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah yang bermaksud: "Barang siapa memberi makanan kepada orang-orang yang berpuasa, agar orang-orang berpuasa itu dapat berbuka puasa, nescaya ia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun
Melihat kepada realiti kehidupan ini, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM), menerusi kempen Kasih Ramadan - Bantulah Mereka Berbuka Puasa' telah menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menghulurkan bantuan berupa pek makanan.
Kalau sebelum ini sumbangan bantuan yang dihulurkan lebih tertumpu kepada golongan sasar seperti anak yatim, fakir miskin, warga emas dan ibu tunggal yang berada dalam kedaifan serta tinggal di kawasan pedalaman, tetapi keunikan penyerahan bantuan kali ini telah melebarkan sasarannya iaitu kepada masyarakat pribumi di Malaysia iaitu masyarakat Orang Asli.
Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam menaiki pacuan empat roda dan meredah bukit-bukau tidak mematahkan semangat petugas Pertubuhan IRM dalam menjayakan misi ke kawasan Perkampungan Masyarakat Orang Asli, Kampung Makmur, Ulu Kinta Perak, baru-baru ini.
Program ziarah ini diketuai Presiden Pertubuhan IRM, Zawahir Abdullah dan dibantu penulis serta rakan media. Kehadiran mereka disambut mesra penduduk Kampung Makmur.
Misi murni itu melibatkan pengagihan pek makanan kepada 250 buah keluarga Orang Asli yang beragama Islam. Pengagihan turut melibatkan penerima manfaat dari perkampungan berhampiran seperti, Kampung Lalang, Kampung Simpang Pulai dan Kampung Suak Padi.
Misi turut mendapat kerjasama daripada Kelab Pacuan Empat Roda Pulau Pinang.
Selain menyerahkan bantuan, masyarakat Orang Asli itu turut diraikan dengan penganjuran majlis berbuka puasa yang melibatkan seluruh penduduk kampung dan juga solat Maghrib berjemaah.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program Kasih Ramadan - Bantulah Mereka Berbuka Puasa, layari laman web rasmi Pertubuhan IRM iaitu www.irmalaysia.org.my atau menyumbang terus ke akaun Maybank No: 564070002424 / CIMB No: 12470000477108. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha kemanusiaan, hubungi talian 03-8948 5939.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: