|
|
TAHA Hussain ialah seorang sasterawan, pemikir dan tokoh pembaharuan di Mesir yang mengajukan gagasan lengkap untuk membangunkan Mesir moden.
Beliau memiliki dua nama samaran, iaitu 'Amid al-Adab al-'Arabi (Dekan Kesusasteraan Arab) dan Qahir al-Zulm (Penakluk Kegelapan).
Amid al-Adab al-'Arabi memperlihatkan peranannya sebagai salah seorang tokoh penting dalam kesusasteraan Arab abad ke-20, manakala Qahir al-Zulm merujuk kepada kemampuannya menakluki kecacatannya (penglihatan) sehingga menjadi seorang tokoh Mesir yang pemikirannya patut dipertimbangkan.
Setelah mengahwini Suzanne Breseau, seorang gadis berbangsa Perancis, Taha Hussain dan isterinya mengharungi dua peradaban, iaitu Mesir dan Barat.
Namun Taha Hussain lebih berpengaruh dalam masyarakat dan kebudayaan/peradaban Mesir berbanding Barat.
Manifesto kebudayaan
Taha Husaain menulis buku yang terkenal di dunia Islam mahupun dunia Barat, yang berjudul Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr (Masa Depan Kebudayaan di Mesir).
Dalam buku itu, beliau mengemukakan gagasannya yang dianggap oleh sebahagian pengkaji sebagai manifesto dalam bidang kebudayaan/peradaban.
Beliau berpendapat bahawa menjalinkan hubungan antara Barat dengan Mesir sangat penting. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa banyak aspek kebudayaan/peradaban Barat yang boleh ditiru kerana Mesir adalah juga sebahagian daripada Barat.
Dua hal itulah yang menjadi pra syarat kemajuan kebudayaan Mesir pada masa akan datang. Hingga ke hari ini, lebih daripada satu abad sejak kelahirannya, manifesto yang kontroversi itu masih terus dibahaskan.
Menteri pendidikan
Ketika Taha Hussain menjadi Menteri Pendidikan, beliau menerapkan pelbagai pemikiran tentang pembaharuan sistem pendidikan, khususnya yang berkaitan dengan peluasan sistem sekolah negeri yang moden dan pembaharuan kurikulum.
Di atas pengaruhnya, pemerintah mengeluarkan arahan untuk mendirikan fakulti umum di Universiti al-Azhar, seperti pertanian dan teknikal. Selain itu, beliau berjaya melembagakan pendidikan bagi seluruh anak-anak warga Mesir (1950).
Salah satu karya Taha Hussain yang paling berpengaruh ialah auto biografinya berjudul Al-Ayyam (Hari).
Buku tersebut mengandungi tiga jilid dan merupakan salah satu buku yang paling banyak dibaca, serta berpengaruh di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Penyakit oftalmia
Ketika berusia enam tahun, Taha Hussain diserang penyakit oftalmia yang menyebabkannya buta. Namun penyakitnya itu tidak membuatnya patah semangat. Beliau tetap ingin menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.
Dengan bantuan para saudaranya, beliau dapat belajar al-Quran di sebuah kuttab, sekolah tradisional.
pengarang produktif
Hasil karya yang ditulis oleh Taha Hussain termasuklah novel, cerpen, kajian sejarah dan kritikan sastera. Karya itu ditulis, baik dalam bentuk buku dan artikel.
Di samping Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr (Masa Depan Peradaban Mesir), Taha Husaain juga menulis buku yang berjudul Fi al-Syi'r al-Adabi al-Jahili (Tentang Syair [Sastera] Jahiliah) dan al-Fitnah al-Kubra (Malapetaka Besar Dalam Sejarah Islam).
Dengan tulisannya itu, Taha Hussain dapat menyingkirkan pelbagai bentuk fanatisme 'buta dan menyimpang' yang berkembang di dunia Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: