WAKTU berbuka adalah antara saat gembira yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang berpuasa. Ini bertepatan dengan maksud hadis Rasulullah SAW iaitu antara kegembiraan orang yang berpuasa adalah sewaktu berbuka dan juga semasa bertemu dengan Allah di akhirat kelak.
Malah, pahala bagi mereka yang memberi makan orang berbuka puasa juga adalah besar.
Menyedari hal ini, Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Masjid Negara menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Ruang Legar Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Islamic Outreach ABIM, Azril Mohd. Amin. Ia diteruskan dengan penyampaian sumbangan cenderamata iaitu hamper dan duit kepada para fakir miskin dan pelarian dari Rohingya.
Turut menerima sumbangan adalah anak-anak yatim dari Rumah Anak-anak Yatim Rukaiyah, Bangi, Selangor serta saudara Muslim dari Nigeria, Kanada, Sri Lanka dan Filipina. Seramai 60 orang hadir menerima sumbangan tersebut.
Turut hadir ialah wakil Imam Besar Masjid Negara, Azhar Tuarno yang menyampaikan tazkirah sebelum berbuka puasa.
Sementara itu, Biro Wanita Pakatan Kebajikan Islam Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor membuat penyerahan kerusi bagi Projek Wakaf Biro tersebut. Ia berlangsung di Ruang Legar Masjid Negara pada 11 Ogos lalu.
Penyerahan dilakukan oleh Pengerusinya, Toh Puan Rohana Johar kepada Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Pada majlis itu, sebanyak 40 unit kerusi lipat untuk kegunaan ketika solat serta dua unit kerusi roda diwakafkan.
Ini adalah antara projek wakaf yang telah dirangka oleh biro tersebut untuk memberi bantuan berbentuk barangan keperluan kepada masjid dan surau di sekitar Lembah Klang.
Syaikh Ismail berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan tersebut kerana ia dapat membantu golongan-golongan yang memerlukan terutamanya para jemaah yang uzur dan tidak berkeupayaan.
Katanya, Masjid Negara menerima pelancong teramai di Malaysia dan ada antara mereka terdiri daripada golongan kelainan upaya dan memerlukan bantuan seperti kerusi roda ketika melawat Masjid Negara.
Pada masa ini, Masjid Negara hanya mempunyai sebuah kerusi roda untuk kegunaan pelancong.
Dengan adanya penambahan kerusi roda sumbangan Biro ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu para sukarelawan pelancong Masjid Negara untuk membantu pelancong yang kurang upaya ini ketika melawat Masjid Negara.
Biro Wanita Pakatan Kebajikan Islam Kampung Tunku ditubuhkan dengan maklamat mengadakan aktiviti-aktiviti kumpulan wanita untuk membuat kerja-kerja amal.
Penubuhannya juga dapat memperbanyakkan lagi program keagamaan seperti kumpulan marhaban, kelas-kelas agama (pengajian al-Quran dan pengajian wanita) serta menyemarakkan syiar Islam di kalangan penduduk tempatan di samping mengeratkan silaturrahim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: