Tuesday, August 23, 2011

Jozan ceriakan puasa anak yatim


JOHAN dan Zizan turut sama memilih pakaian untuk diberikan kepada anak-anak yatim.


KEHADIRAN Ramadan kali ini pastinya tidak akan dilupakan oleh 20 orang anak-anak yatim dari Rumah Bakti, Hulu Klang, Selangor apabila mereka diraikan oleh kumpulan Jozan dalam majlis berbuka puasa anjuran pusat membeli-belah The Curve, baru-baru ini.

Keriangan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim berkenaan sebaik sahaja kelibat dua anggota kumpulan Jozan iaitu Johan dan Zizan Raja Lawak muncul di hadapan mereka.

Lantas, suasana di Centre Court, The Curve petang itu bertukar menjadi gamat apabila Johan dan Zizan mula menceriakan anak-anak yatim dengan lawak spontan mereka.

Ternyata aura naib juara program realiti televisyen (TV) Maharaja Lawak itu tetap utuh dalam menggeletek hati anak-anak yatim yang diraikan.

Kegembiraan bukan sahaja dirasai oleh anak-anak yatim berkenaan tetapi turut dikongsi oleh Johan dan Zizan.

Menurut, Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lian Mohd. Aziz, 27, dia merasa amat gembira dan teruja apabila diberi peluang untuk bersama-sama meraikan anak-anak yatim pada hari itu.

Baginya, melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak yatim berkenaan membuatkan dirinya turut disapa rasa berkenaan.

"Apabila tengok mereka tersenyum riang dan gembira, ia membuatkan saya turut merasa gembira dalam meraikan Ramadan ini.

"Lagipun dengan cara ini kita dapat mendekati dan menyerikan hari-hari yang mereka dilalui agar tidak terasa tersisih serta terpinggir.

"Bagi saya, ini adalah pendekatan terbaik untuk kita menunjukkan rasa prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik supaya mereka ini juga dapat merasai kegembiraan berhari raya," jelas suami kepada aktres Ozlyn itu.

Selain itu, dalam sibuk melayan dan menghiburkan anak-anak yatim berkenaan, Johan sempat meluahkan harapannya untuk melihat mereka berjaya di masa hadapan.

"Saya berharap agar mereka berjaya dalam menempuhi ujian dan dugaan hidup serta berjaya menjadi manusia berguna di masa hadapan.

"Apa pun saya doakan yang terbaik untuk mereka dalam meneruskan perjalanan hidup yang masih pajang," ujar Johan yang akan tampil dalam filem Raya Tak Jadi yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Sementara itu, bagi aktor kelahiran Terengganu yang menjadi pasangan Johan dalam Jozan, Zizan pula menyatakan rasa berbesar hatinya apabila diundang oleh pihak The Curve untuk bersama meraikan kehadiran anak-anak yatim berkenaan.

Baginya, dia merasa bertuah kerana berpeluang untuk meraikan bulan yang mulia ini bersama dengan anak-anak yatim berkenaan.

"Bertuah rasanya apabila dapat menceriakan mereka agar kehadiran Ramadan dapat dikongsi bersama.

"Dengan cara ini kita dapat buat mereka rasa dihargai dan disayangi sama seperti kanak-kanak lain yang lebih bernasib baik," ujar jejaka yang pernah digosipkan dengan aktres jelita Juliana Evans itu.

Tambahnya, dia merasa bangga apabila dapat membuatkan anak-anak yatim berkenaan tersenyum riang dalam menanti gema azan Maghrib untuk berbuka puasa.

Dalam majlis itu, anak-anak yatim berkenaan bukan sahaja disajikan dengan juadah berbuka puasa oleh Restoran Bubba Gump Shrimp Co. , malah mereka turut diberikan persalinan bagi menyambut Aidilfitri nanti yang ditaja oleh Little Haven dan The Curve.

Selain itu, bagi melengkapkan diri untuk bergaya di pagi Syawal nanti, mereka turut diberikan perkhidmatan menggunting rambut oleh Kwikcut.

Sementara itu, Penolong Pengurus The Curve, Jazmi Kamarudin berkata, majlis berkenaan adalah kesinambungan yang dilakukan oleh The Curve dalam menyambut Ramadan dan ketibaan Syawal.

Jelasnya, acara meraikan anak-anak yatim dilakukan oleh The Curve saban tahun bermula daripada berdirinya kompleks membeli-belah itu pada tahun 2005.

"Setiap tahun di bulan Ramadan kita akan meraikan anak-anak yatim dari rumah-rumah kebajikan yang terpilih.

"Kita mahu mereka juga merasakan nikmat Ramadan dan kemeriahan Aidilfitri sama seperti insan lain dan sebab itu kita jadikan majlis ini sebagai rutin tahunan.

"Kita tidak mahu mereka yang kurang bernasib baik ini merasa terpinggir dan rendah diri apabila tibanya hari lebaran nanti," katanya.

Namun, tambah Jazmi, majlis itu juga adalah sempena pelancaran kempen promosi Hari Raya The Curve.

"Majlis ini kita lancarkan sekali dengan promosi Raya tahun ini yang bertemakan Le Souq iaitu sebuah bazar di negara Timur Tengah di mana bermula 5 Ogos lalu sehingga 4 September depan pelanggan yang berbelanja lebih daripada RM100 akan diberikan hadiah istimewa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: