Tuesday, August 23, 2011

Harus tebal jiwa Melayu


S. ATAN merupakan salah seorang komposer yang memiliki koleksi lagu-lagu raya popular.


BAGAIKAN tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa lagu-lagu raya yang berkumandang dan melatari kesibukan menyambut Syawal.

Kuasa lagu raya memang cukup dahsyat. Ia mampu membangkitkan mood dan semangat dalam diri sebahagian besar umat Islam di negara ini yang teruja menghitung menjelangnya hari kebesaran itu.

Biar masa berlalu, ternyata lagu-lagu raya lama terus mendapat tempat walaupun ada karya baru yang dihasilkan setiap tahun.

Barangkali ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Bukan bermaksud hendak menidakkan keupayaan komposer baru tetapi sudah terbukti sentuhan komposer terdahulu lebih digemari.

Ada sesetengah lagu yang dihasilkan berusia lebih daripada empat dekad. Namun, ia terus relevan dan segar sehingga ke hari ini.

Malah, generasi baru juga lebih menggemari karya-karya klasik walaupun sebahagian besar daripadanya dicipta lama sebelum mereka dilahirkan.

“Mengapa lagu lama lebih diminati adalah kerana liriknya yang sudah cukup untuk menceritakan suasana raya itu sendiri.

“Kata kunci untuk setiap lagu mudah sahaja iaitu menggunakan perkataan Selamat Hari Raya. Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah menerusi tiga lagu Selamat Hari Raya yang berlainan melodi nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham Fazidah Joned.

“Permainan kata-katanya begitu ringkas, jelas

dan mudah difahami lalu terus melekat dalam jiwa pendengar. Dalam erti kata lain, liriknya adalah straight forward tanpa perlu menggunakan laras bahasa yang berbunga-bunga.

“Pada hemat saya, itu adalah kekurangan yang saya dapat lihat dalam penghasilan lagu-lagu baru masa kini.

“Kerana itu, lagu lama tetap menjadi pilihan termasuk kepada generasi muda,” ujar komposer terkenal, S. Atan panjang lebar kepada Mega dalam satu sesi fotografi khas di ibu pejabat Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apabila memperkatakan tentang S. Atan, siapa yang dapat lupa akan kehebatan lagu-lagu raya ciptaannya termasuklah Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Menjelang Hari Raya (Datuk D.J. Dave), Joget Hari Raya (Herman Tino dan Zaleha Hamid), Inang di Aidilfitri (Sudirman dan Zaleha Hamid) serta Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz).

Sekadar menyingkap sejarah, S. Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said menjelaskan penglibatannya dalam menghasilkan lagu-lagu raya bermula sewaktu berkhidmat dengan syarikat rakaman EMI sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Menjadi seorang komposer, S. Atan memberitahu kreativiti perlu menjadi tunjang utama dalam penghasilan lagu-lagu raya.

Selain lirik, melodi juga memainkan peranan penting dalam memastikan jangka hayat sesebuah lagu itu berpanjangan.

Malah, S. Atan sendiri tidak pernah menyangka dan membayangkan kesemua lagu-lagunya terus kekal dan menjadi kegemaran biarpun berdekad-dekad sudah berlalu.

“Seperti mana yang saya katakan tadi, melodi dan lirik itu perlu seiring dalam membangkitkan mood raya agar ia dapat dirasai oleh pendengar.

“Saya kagum dan tertarik dengan beberapa komposer yang tidak banyak melahirkan lagu-lagu raya. Tetapi ia berjaya mendapat sambutan lalu kekal sehingga ke hari ini.

“Itu membuktikan gabungan melodi dan liriknya perlu ada keserasian untuk muncul sebagai sebuah karya malar segar,” katanya sambil memberikan contoh terbaik lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan dan nyanyian Datuk M. Nasir.

Bukan itu sahaja, S. Atan turut mengagumi karya ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Ahmad Jaafar, Datuk Dr. Ahmad Nawab, Syed Haron, Omar Taib dan Kassim Masdor yang semuanya sudah bertaraf klasik.

Dalam pertemuan itu, S. Atan tidak keseorangan sebaliknya fotografi itu turut disertai oleh komposer yang cukup sinonim dengan lagu-lagu tradisional iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain.

Lebih mesra dan dikenali ramai sebagai Pak Ngah, komposer terkenal itu sudah mampu berdiri setanding dengan komposer terdahulu yang telah menghasilkan lagu-lagu raya.

Pak Ngah telah dianggap sebagai komposer alaf baru yang berjaya menghasilkan lagu raya bertaraf malar segar dalam tempoh yang singkat.

Bagaikan tidak wajib sambutan raya seandainya lagu-lagu ciptaannya seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran, Airmata Syawal dan Anugerah Aidilfitri yang mana kesemuanya dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak diputarkan.

“Sama seperti S. Atan, saya sendiri tidak pernah menyangka lagu-lagu ciptaan saya berjaya mencapai taraf malar segar seperti yang diperkatakan itu.

“Resipi saya cukup mudah iaitu setiap karya itu perlu tebal dengan jiwa Melayu. Barulah ia boleh diterima dengan baik.

“Ini kerana sambutan Aidilfitri sudah cukup menggambarkan budaya Melayu itu sendiri dan bagaimana kita menyambutnya.

“Jadi, elemen-elemen itu perlu ada dalam setiap lagu sekali gus untuk membangkitkan semangat Syawal itu sendiri,” kata Pak Ngah yang berusia 53 tahun itu lagi sambil dipersetujui S. Atan di sebelahnya.

Mungkin ramai yang menyangka lagu Sesuci Lebaran adalah lagu raya ciptaan pertamanya. Tetapi sebenarnya lagu Nostalgia Aidilfitri nyanyian Datuk Sharifah Aini adalah permulaan segala-galanya.

Ketika itu, S. Atan merupakan penerbit album Nostalgia Aidilfitri milik Biduanita Negara itu yang diterbitkan pada 1996.

Lalu, peluang itu dibuka untuk Pak Ngah mencuba nasibnya dalam menghasilkan lagu tersebut yang juga sudah mencapai taraf malar segar.

“Dari situ, saya mula mendapat peluang dan ketika itu pula, nama Siti Nurhaliza cukup popular.

“Jadi, apabila saya mencipta Sesuci Lebaran pada 1999, ia hadir tepat pada waktunya dan kebetulan pula lagu-lagu etnik juga sedang diminati ramai.

“Dalam menghasilkan lagu-lagu raya, saya perlu mengucapkan terima kasih kepada komposer terdahulu kerana mereka yang menjadi sumber inspirasi buat saya.

“Secara tidak langsung, saya telah meneruskan kelangsungan tradisi lagu raya itu dan Alhamdulillah, ia diterima dengan cukup baik,” ujar anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu lagi yang turut mendapat pujian S. Atan.

Sempat juga komposer lagu Cindai dan Nirmala itu memberikan buah fikirannya tentang lagu raya baru yang kurang menyengat dan meninggalkan kesan di kalangan pendengar.

Jelas Pak Ngah, semuanya perlu memakan masa yang agak lama untuk sesebuah lagu baru diterima dengan baik dan kekal menjadi sebuah lagu bertaraf klasik.

Mengambil contoh dirinya sendiri yang pernah menghasilkan lagu Gema Lebaran dan Sinar Lebaran yang masing-masing dinyanyikan oleh Erra Fazira dan Noryn Aziz, Pak Ngah memberitahu tidak mustahil lagu itu mampu mendapat tempat kelak.

“Setiap tahun lagu raya semakin banyak dihasilkan dan kalau ia mendapat tempat di corong radio serta kerap diputarkan, saya percaya ia dapat bertahan,” jelasnya yang akan membuat persembahan di London selama 10 hari bermula 4 September ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: