Tuesday, August 23, 2011

Ana Raffali bakal hibur tetangga


Ana Raffali tidak kekok melayan penghuni RACTAR pada majlis berbuka puasa di Subang, baru-baru ini.


ANA sudah beli bahan untuk buat biskut tapi tak ada masa nak buat lagi," itulah kata Ana Raffali apabila ditanya tentang persiapan raya.

Ana yang ditemui sempena majlis berbuka puasa Mamee Double Decker (M) Berhad bersama 55 orang anak-anak yatim Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Subang di sini berkata, tahun ini dia berazam untuk membuat biskut keju, candy dan coklat chip.

Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 26, berkata, biskut tersebut adalah kegemarannya yang dipelajari daripada arwah kakak, Wilma Halira yang meninggal dunia lapan tahun lalu.

"Dulu-dulu bila arwah kakak buat biskut, Ana suka tolong juga tapi banyak yang masuk mulut. Masa sekolah menengah, ada minat buat biskut tapi tidak pernah buat.

"Ana mula buat biskut sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Mula-mula buat dulu ada yang terpenyek, terkeras dan macam-macam rasa. Tapi bila arwah kakak kata okay dengan biskut buatan Ana, hati kembang waktu itu," ceritanya.

Justeru itulah, kata Ana, dia akan cuba mencari masa untuk membuat biskut tersebut kerana ahli keluarga lain juga sudah mengidam untuk makan biskut buatannya.

Raya tahun ini juga Ana dan komuniti penduduk dari Jalan 8, 10 dan 11, Lembah Keramat akan mengadakan rumah terbuka pada 24 Ogos nanti.

"Tidak sabar rasanya nak tunggu tarikh itu, sebab sudah lama Ana merancang untuk menghibur jiran tetangga kerana mereka banyak memberi sokongan kepada Ana, tidak kira kecil atau besar," katanya ceria.

Ana yang hanya mempromosi lagu raya tahun lalu, Hari Hari Hari Raya pada tahun ini berkata, dia tidak perlu kecoh untuk membeli baju raya seperti orang lain.

Ini kerana penyanyi yang gemar memakai baju kurung itu berkata, kalau tidak sempat membeli pakaian baru untuk raya, dia akan memakai baju lama.

"Kalau tidak sempat membeli baju raya, Ana ulang tayang pakai baju show je. Lagipun baju show Ana pun baju kurung atau kebaya yang memang sesuai untuk raya," katanya tersenyum.

Penyanyi yang berlakon sebagai Rosnani atau Rose dalam teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60an (KMJ 60an) di Istana Budaya berkata, tiap kali raya mereka sekeluarga akan beraya di kampung sama ada di Kuantan, Pahang atau Jelebu, Negeri Sembilan.

"Raya di kampung seronok sebab suasananya berbeza dengan di sini. Kali ini seronok sebab adik yang belajar di Moscow, dah habis belajar. Dulu enam tahun dia di sana. Tiap kali raya kami akan hantar video raya untuk dia dan kakak yang berada di India," katanya.

Bercerita pengalaman raya terindah dalam hidupnya berlaku pada tahun 2006 ketika dia menyertai program pertukaran budaya di Jepun yang turut disertai oleh pelajar dari Amerika Syarikat.

"Waktu itu raya. Ana dengan seorang kawan terpilih ke sana selama empat bulan. Ada kekawan nak buat parti, jadi Ana telefon emak tanya cara nak buat ayam masak merah. Kiranya, Ana yang jadi chef dan kawan membantu," katanya ceria.

Dalam pada itu, Ana yang masih merahsia siapa teman lelakinya berkata, sempena hari raya ini sudah pasti dia akan berkunjung ke rumah tersayang.

Kata Ana, setakat ini mereka belum merancang untuk mendirikan rumah tangga kerana belum bersedia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: