Thursday, August 18, 2011

Farouk intai peluang



Masih belum terlambat bagi pemilik nama, Mohd Farouk Sulaiman, 31, mengetengahkan bakatnya dalam bidang seni suara.

Mengakui, minat menyanyi tercetus sejak di bangku sekolah lagi, Farouk nekad mencuba nasib. Sebagai permulaan, anak jati Kuala Lumpur, ini memperkenalkan mini album berjudul Adaptasi yang memuatkan enam lagu.

Menurut Farouk, walaupun mengambil masa agak lama untuk muncul dengan album, dia percaya kepelbagaian genre lagu dibawanya mampu mendapat tempat di hati peminat.

“Beberapa lagu dalam mini album ini, telah diputarkan di beberapa stesen radio untuk sesi pengenalan.

“Dalam album ini, saya tidak tertumpu kepada satu genre sahaja tetapi pelbagaikan genre untuk santapan pendengar. Dalam Adaptasi, ada lagu berkonsepkan ketuhanan, R & B dan sebagainya.

“Tujuannya adalah untuk memberikan pilihan kepada pendengar untuk memilih muzik mana yang mereka suka. Dengan cara ini, mereka tidak akan bosan dan bebas membuat pemilihan,” katanya lebih cenderung dengan genre R & B dan Hip Hop.

Biasa buat persembahan

Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam bidang seni, Farouk berkata, sebelum ini, dia sudah biasa membuat persembahan untuk majlis tertentu. Malah pemegang Sarjana Sosiologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini juga, sering menerima undangan persembahan untuk majlis di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Farouk, semasa mengadakan persembahan itulah, dia berkenalan dengan beberapa komposer dan penulis lirik.

“Kebetulan, rezeki menyebelahi saya, saya berjumpa dengan Boy Razak dalam majlis dan dia mempelawa saya untuk menjadi penyanyi.

“Masa itu, apa yang saya harap, impian saya akan jadi kenyataan untuk bergelar artis dan menyanyi lagu sendiri.

“Dalam mini album itu, saya turut menyumbangkan bakat yang ada dalam segi penulisan lirik. Lirik yang saya hasilkan ialah lagu Akulah Farouk dan Anugerah,” katanya berharap agar kemunculannya mendapat tempat di hati peminat.

Impi konsert sendiri

Walaupun masih ‘hijau’ dalam dunia seni, Farouk berhasrat untuk mengadakan mini konsert sendiri jika diberi peluang.

Menurutnya, untuk ke arah itu, dia perlu berusaha lebih keras dan memenangi hati ramai peminat.

“Saya teringin nak ada konsert sendiri. Tapi sebelum itu, saya harus mempertingkatkan diri agar ianya bukan sekadar angan-angan kosong.

“Saya yakin dengan apa yang saya buat dan muzik catchy ini dapat pergi lebih jauh lagi,” katanya yang kini memberi tumpuan 100 peratus dalam bidang nyanyian.

Dalam pada itu, Farouk berkata, dia juga ingin mengembangkan bakatnya dalam penulisan lirik lagu dan berhasrat dapat mencipta lagu sendiri untuk album seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: