Sunday, August 21, 2011

Hulurkan salam, erat persaudaraan




BERTEMAKAN frasa 3 Dimensi, itu yang digunakan dalam program Melodi Raya tahun ini. Berteraskan tiga elemen iaitu nyanyian,

komedi dan temu bual sensasi, rencah itu menjadikan program terbitan stesen televisyen TV3 itu tampak istimewa di kaca mata penonton.

Tak perlu dihuraikan dengan bergantang kata-kata, sebab semua orang tahu, Melodi Raya adalah acara yang paling dinanti-nantikan setiap artis dan selebriti tanah air. Pihak media juga menjadikan acara ini sebagai lokasi mencari seberapa banyak artis untuk dijadikan simpanan cerita musim hari raya akan datang.

Apalagi, saban tahun program tersebut tak pernah gagal dihadiri oleh ratusan artis kita yang sememangnya teruja untuk turut sama memeriahkan program terbitan Azman Ghaffar itu.

Sekali lagi memilih Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai lokasi berlangsungnya acara, Melodi Raya 2011 menyaksikan 400 artis berjaya dikumpulkan dalam suasana dan kemeriahan hari raya.

Dari Fauziah Latif, Man Bai, Elly Mazlein, Zarina Zainudin, Raja Farah, Faradhiya, Siti Sarah, semuanya nampak sporting memeriahkan majlis.

Pun begitu, sukar untuk mengikis rasa janggal di hati apabila kelibat individu-individu yang mengaku artis juga turut menghadiri program. Walaupun undangan tahun ini begitu terhad, ada juga muka tidak dikenali dalam industri hiburan tempatan yang berani singgah. Aduhai, macam-macam hal.

Apa pun, program yang dikendalikan oleh hos Zizan dan Dira Abu Zahar itu ternyata menjadi.

Lebih gamat apabila isi dewan turut dihiburkan dengan lawak jenaka gabungan dua buah kumpulan komedi popular negara, Sepah dan Senario.

Selain itu, gabungan persembahan antara artis lama dan baru juga menjadikan Melodi Raya tahun ini umpama sebuah festival yang unik.

Dalam pada itu, kemeriahan hari raya juga turut dirasai dalam suasana yang berbeza di Pusat Membeli-belah Great Eastern Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Hampir 30 artis tanah air yang hadir menjayakan program Great Eastern Mall Annual Tenants Gathering Hari Raya Fashion Showcase termasuk majlis berbuka puasa.

Antara yang hadir ialah Ezlynn, Vanidah Imran, Zahnita, Nur Fathia, Faezah Elai, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Shila Hamzah dan Miera Liyana.

Saksikan sebahagian gambar yang sempat dirakamkan oleh jurugambar Utusan Malaysia Nooradzrene Mohd Noor dan Jeffri Iran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: