Sunday, August 21, 2011

Bangga berwajah kacukan


Mohammad Khairul Razin


BANYAK orang kata, kalau tak memiliki akaun laman sosial Facebook atau Twitter, semacam tak mengikut keperluan zaman.

Sebab itulah agaknya golongan bergelar nenek juga memiliki akaun Facebook. Tak tahulah apa tujuan dia memiliki laman sosial jaringan persahabatan itu. Malah kempen politik juga menggunakan laman sosial yang dilihat lebih mudah mencapai sasaran.

Ada juga orang yang berbangga apabila memiliki ramai senarai kawan dalam Facebook walaupun ada di antaranya yang tidak mengenali langsung. Lain pula halnya dengan Mohammad Khairul Razin yang mahu menggunakan laman Facebook untuk kebaikan sahaja.

“Saya tak ada ramai kawan dalam Facebook sebab saya tak mahu menambah seseorang yang saya tidak kenali. Kalau ada yang saya tak kenal pun, mereka masih ada hubungan, misalnya belajar di sekolah yang sama.

“Saya menggunakan Facebook untuk menghubungkan saya dengan kawan yang sudah lama saya tak jumpa, baik kawan sekolah atau kawan semasa kecil.

“Saya juga ada berhubung dengan saudara sebelah ibu di England menerusi Facebook,” kata anak Melayu yang mewarisi wajah Inggeris sebelah ibunya itu.

Dia juga berharap Facebook tidak dijadikan medan untuk seseorang meluahkan ketidakpuasan hati sekali gus memburukkan orang lain. Itulah antara perkara buruk yang boleh berlaku kepada pengguna Facebook.

“Bila ada paparan pasal sesuatu isu, banyak yang akan melontarkan pandangan yang ada kalanya berbunyi seperti menghentam pihak lain.

“Orang kita juga cepat sangat terpengaruh dan mengikut orang tanpa berfikir panjang. Misalnya semasa perhimpunan haram Bersih 2.0 baru-baru ini, ramai yang berhimpun tetapi mereka sebenarnya tidak tahu apa yang mereka buat.

Tapi ramai yang hanya mengikut sahaja, itu yang tak baik,” jelasnya lagi.

Memiliki wajah anak muda Inggeris memberikan sesuatu kelainan kepada Razin. Apatah lagi lelaki yang dilahirkan di Kelantan itu bersekolah di Kedah semasa peringkat sekolah menengah itu tidak terlihat wajah Melayunya.

“Memang semasa kecil berasa juga kita ini macam terasing sebab wajah kita lain daripada rakan-rakan, tapi yang seronoknya semua orang perasan kewujudan kita,” jelasnya yang sering kali disangka seorang pemuda Inggeris.

Wajah itu juga membuka langkah dalam bidang peragaan kepadanya. Sejak setahun lalu Razin mula terlibat dalam peragaan. Wajahnya pernah menghiasi beberapa buah iklan untuk tayangan di sini serta pasaran negara luar.

Bercerita pasal persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti, Razin dan keluarga akan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja kerana sebahagian besar keluarganya kini tinggal di Lembah Klang.

Sementara itu Razin juga meminati sukan futsal dan dia mempunyai pasukan yang dinamakan KMK Alumni. Anggotanya ialah rakan-rakan semasa menuntut di KOlej Matrikulasi Kedah.

“Saya juga suka berjogging untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan,” kata Razin lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: