Sunday, August 21, 2011

Zulkifli ganti Ustaz Asri


Zulkifli Azman (empat dari kanan) bersedia memikul tanggung jawab sebagai ketua kumpulan bersama tujuh ahli lain.


MESKIPUN ‘sayap’ kumpulan patah selepas pemergian vokalis utama, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim, namun Rabbani tetap optimis dengan perjuangan nasyid mereka.

Tanggungjawab tersebut kini dipikul sepenuhnya oleh Zulkifli Azman yang dikatakan punya bakat dan suara mirip arwah.

“Sebelum Allahyarham meninggal, dia ada menyebut nama saya untuk menggantikan dirinya andai tidak hadir membuat satu persembahan di Sabah. Kata-kata itu juga yang dipegang oleh setiap ahli sehingga ke hari ini,” katanya menjawab teka-teki pengganti arwah selama ini.

Mengulas mengenai tugasan sebagai ketua kumpulan Rabbani yang baru, Zulkifli memberitahu bahawa amanat tersebut sememangnya di luar jangkaannya.

Baginya, dia tak layak memegang jawatan tersebut memandangkan pengalaman diri yang tak seberapa.

Jujurnya, perasaan berat menyelubungi dan bimbang menyeliputi pelbagai aspek. Khuatir andai ada pihak membanding-bandingkan kualiti persembahan mereka berdua.

“Jarak pengalaman antara kami memang jauh berbeza. Saya pula jenis pemalu. Tapi insya-Allah, dengan sokongan ahli lain, saya hadapi masalah gemuruh itu,” katanya yang ditemui pada majlis tahlil Allahyarham Ustaz Asri di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Allahyarham Asri meninggal dunia akibat sakit jantung pada 13 Ogos 2009. Pemergiannya secara mengejut memang dirasai oleh peminat industri seni tempatan.

Zulkifli beruntung kerana individu paling rapat dengan arwah iaitu Azadan Abdul Aziz banyak membimbing dirinya sewaktu mengendalikan tugas berkenaan.

Mereka mengamalkan cara duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian sebelum membuat keputusan. Kaedah yang sama menjadi ramuan kemuafakatan kumpulan yang telah bersama sejak 20 tahun lamanya.

“Tidak ada apa yang ingin kami kejar dalam kehidupan ini. Sekadar cukup untuk memberi makan dan pakai keluarga, itu sudah memadai.

“Kami juga berada di industri hiburan bukan untuk mencari populariti. Tapi hanya berkongsi bakat yang ada. Sebab itu, hati kami sentiasa bersatu dan tak pernah terfikir untuk berpisah,” katanya penuh berharap.

Rabbani boleh dihubungi melalui 03-62721225 atau layari laman web www.rabbani.com.my untuk mengetahui perkembangan terkini mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: