MASIH ingat kenangan berbuka puasa dengan nenda tercinta di desa? Pastinya lauk-pauk kampung yang enak menghiasi meja membangkitkan selera siapa saja.
Namun waktu berlalu dan mungkin bagi sesetengah daripada kita, nenda sudah tiada lagi. Pastinya memori berbuka dengan air tangan insan tersayang ini tetap menjadi kenangan yang sukar dilupa.
Wujudkan kembali nostalgia masakan nenda di Restoran Rebung yang terletak di Lorong Maarof, Bangsar. Dengan tema ‘Balik kampung buka puasa dengan nenek’ menyajikan pelbagai juadah enak sepanjang Ramadan ini dengan harga RM60 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak (lima hingga 11 tahun).
Pemiliknya, Chef Ismail berkata, antara menu istimewa yang menanti pengunjung kali ini adalah lauk-pauk kampung seperti masak lemak siput sedut dengan batang keladi, masak lemak daging salai, ikan bilis terung pipit, gulai tempoyak ikan patin, ulam-ulaman bersama pelbagai sambal yang menyelerakan.
Tidak ketinggalan menu gerai seperti bihun sup utara, laksa utara, mee goreng, bubur lambuk, murtabak dan juga kuih muih enak. Turut membarisi meja pencuci mulut seperti bubur kacang, pengat durian, sagu gula Melaka, badak berendam, puteri mandi dan pelbagai lagi.
Tidak cukup dengan hidangan yang enak, saat berbuka menjadi cukup istimewa diiringi irama muzik ghazal yang merdu. Selain itu dekorasi restoran yang mencipta teratak nenda di desa menggamit nostalgia lama.
Menurut Chef Ismail, selepas Hari Raya nanti, pihaknya turut menyediakan menu rumah terbuka. Antara hidangan yang tersenarai adalah lemang Rembau, ketupat palas, nasi beriani, rendang dan banyak lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: