![]() |
| Gaya eksklusif kurung cekak musang tradisional Pahang daripada fabrik organza dan berkain songket. |
SUKAR mengenepikan baju kurung pada hari-hari istimewa atau majlis rasmi. Fesyen warisan bangsa ini tetap menjadi pilihan wanita walaupun semoden mana mereka.
Sungguhpun tidak banyak perubahan yang boleh dilakukan pada baju kurung, namun keserian dan keanggunannya masih terserlah melalui kreativiti seseorang pereka.
Pemilihan jenis fabrik, potongan, perincian atau perhiasan pada baju kurung dapat menambah keindahan baju ini.
Fabrik organza, songket, sutera Thai, sutera shantung dan taffetta menjadi pilihan utama Butik I-Nee khusus bagi para pelanggan yang inginkan rekaan yang eksklusif.
Menurut pemilihnya, Melson Shah, walaupun ada yang mengatakan fabrik-fabrik seperti itu keras dan nampak kaku namun potongan baju kurung berpinggang menjadikan koleksinya nampak mewah.
''Potongan baju kurung cekak musang, kurung tradisional Pahang, kurung teluk belanga dan kurung Riau menjadi pilihan kerana sesuai digayakan bagi yang bertubuh gempal mahupun langsing.
''Dengan suntikan elemen moden seperti manik yang dijahit pada leher dan tangan menjadikan koleksi baju kurung ini nampak eksklusif.
''Memang inilah yang menjadi keistimewaan koleksi I-Nee, iaitu jahitan manik yang tersusun indah dan dijahit rapi serta kemas. Justeru si pemakai tidak perlu mengenakan aksesori yang berat,'' jelas Melson.
Tambahnya, jika tahun lepas I-Nee lebih pada pada rekaan baju kurung yang nampak moden namun klasik menjadi pilihan tahun ini yang pastinya menjadi sasaran pelanggan berusia di antara 30 an dan 40 an tahun.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: