Wednesday, August 3, 2011

Memburu benak di Batang Lupar


AKSI peluncur dari luar negara memukau penonton dengan mempamerkan kehebatan dan kemahiran meluncur Benak setinggi tiga meter.


BERSIAP sedia seawal pukul 3.30 petang, Antony Colas bersama tiga rakannya menunggu kehadiran lawan yang ingin dicabar sambil meniarap di atas papan luncur di tengah-tengah Sungai Batang Lupar, kira-kira dua kilometer dari Tebingan Sri Aman.

Setengah jam kemudian, permukaan air mula beralun menandakan kehadiran lawannya itu. Selang beberapa minit, ombak memutih setinggi kira-kira tiga meter kelihatan dari jauh bergerak menentang arus sungai.

Orang ramai yang berhimpun di sepanjang tebing sungai mula bersorak kerana kelibat ombak tersebut menandakan penantian mereka sejak pagi untuk menyaksikan satu pertarungan bakal berakhir.

Sementara itu, walaupun lawan yang datang seakan-akan ingin membaham mereka, kumpulan peluncur tersebut nampak tenang.

Kekal dengan posisi meniarap, mereka menguak permukaan air dengan kedua-dua tangan supaya papan luncur bergerak ke arah gelombang yang semakin meninggi itu.

Sebaik sahaja papan luncur bersentuhan dengan gulungan ombak, seorang demi seorang bingkas berdiri dan mula meluncur selama beberapa minit.

Gaya mereka bersahaja. Persis sekumpulan wira sehingga mendapat tepukan gemuruh para penonton.

Empat sekawan itu Colas, Eduardi Bage, Bruno Andre dan Fabienne d' Ortoli akhirnya berjaya menawan sang 'benak' - ombak muara yang terhasil daripada fenomena air pasang di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak baru-baru ini.

Aksi ekstrem itu juga menjadikan Colas, 43, pemegang rekod individu yang paling kerap bertarung dengan benak di sungai yang terkenal dengan legenda buaya ganas Bujang Senang itu.

Menurut Colas, kehadirannya kali ini kerana dijemput pihak penganjur yang meminta dia beraksi di hadapan orang ramai sempena Pesta Benak 2011 yang berlangsung selama empat hari baru-baru ini.

Jemputan itu merupakan kesinambungan daripada kejayaannya mencipta rekod sebagai peluncur pertama yang pernah meluncur secara berdiri di atas ombak muara tersebut pada Oktober 2009.

Warga Perancis itu memberitahu, dia tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju. Malah, beberapa rakan peluncur turut diajak menemaninya menjayakan misi kali ini.

Diminta mengimbau kenangannya mencabar benak buat kali pertama dua tahun lalu, Colas mengakui dia hampir-hampir menarik diri kerana tiada seorang pun rakan yang sudi meluncur bersamanya ketika itu.

"Residen Sri Aman ketika itu, Abang Shamshudin (Abang Seruji) yang menjemput saya ke mari. Saya serba salah kerana secara jujur, saya bukanlah seorang peluncur yang hebat.

"Secara kebetulan, sehari sebelum Pesta Benak, saya ternampak seekor buaya bersaiz agak besar sedang 'bersantai' di tebing sungai tidak jauh dari tempat saya bercadang untuk meluncur.

"Keseorangan di hadapan ribuan penonton, terbayang pula kisah Bujang Senang yang pernah bermaharajalela di sungai ini, saya akui agak kecut perut dan mula berbelah bahagi sama ada ingin meneruskannya atau tidak," katanya.

Bagaimanapun, memikirkan kepuasan yang bakal diperolehi, Colas bertekad untuk menjayakan misi itu.

Keputusan itu dirasakan amat berbaloi kerana kini namanya terpahat dalam lipatan sejarah sehingga menjadi sebutan ramai.

Lebih-lebih lagi, benak Batang Lupar disenarai sebagai antara yang terbaik di dunia meskipun tidak sebesar di Brazil atau China.

"Beraksi di sungai memberi kepuasan berganda kepada kaki luncur kerana kami dapat bertahan lebih lama berbanding meluncur di pesisiran pantai.

"Sebaik sahaja melihat benak datang ke arah saya, perasaan takut hilang serta merta. Yang berlegar di fikiran ketika itu, saya ingin bermain sepuas-puasnya dengan ombak berkenaan," katanya sambil mengakui teruja untuk kembali beraksi tahun hadapan.

Dia juga menjangka lebih ramai peluncur akan muncul pada Pesta Benak akan datang termasuk warga tempatan sendiri.

"Saya berkenalan dengan beberapa pemuda tempatan ketika meluncur di Pantai Cherating, Pahang dan mencabar mereka supaya beraksi di Batang Lupar pula. Saya pasti mereka akan datang," katanya.

Selain benak Batang Lupar, Colas yang merupakan seorang penulis majalah sukan ekstrem antarabangsa pernah mencabar ombak muara di Perancis, Brazil dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: