Wednesday, August 3, 2011

Koleksi trendy Elaine


Aksesori unik menjadi taruhan.


WANITA dan fesyen umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Itu kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi.

Disebabkan itu tidak hairan hari ini semakin ramai wanita melibatkan diri dalam dunia perniagaan yang menjual aksesori ataupun pakaian wanita.

Elaine Daly salah seorang selebriti juga tidak ketinggalan menyemarakkan lagi dunia perniagaan.

Beg tangan dan aksesori wanita menjadi pilihannya untuk berniaga secara maya.

Menurut Elaine, apa yang unik mengenai produk jualannya, ia hanya boleh didapati dan dibeli melalui Internet.

Selain itu, barangan yang dijual Elaine turut menampilkan koleksi yang diperbuat daripada kulit ular.

"Antara barangan yang dapat dibeli melalui laman web saya ialah beg tangan, gelang, sarung telefon bimbit Blackberry, dompet kad dan pelbagai jenis beg lagi.

"Sudah pasti barangan ini terdapat dalam pelbagai pilihan warna yang menarik dan reka bentuk yang memikat hati.

"Walaupun ia baru beroperasi sekitar enam bulan, saya akan sedaya upaya menampilkan pelbagai koleksi mengikut musim," ujarnya ketika ditemui pada sesi bersama media bagi memperkenalkan barangannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada masa yang sama, rakannya Stephanie Tay turut memperkenalkan produk keluaran Kyla Ruiz, baju mandi yang didatangkan khas dari Brazil.

Tambah Elaine, kesemua produknya ditawarkan pada harga berpatutan dan boleh diperoleh serendah RM75.

Yang pasti, apa yang dijual Elaine merupakan aksesori yang terkini, trendy, glamor dan sesuai digayakan untuk apa juga majlis yang dihadiri.

Bercerita lanjut mengenai produk jualannya, Elaine memberitahu, kesemua barangannya dihasilkan di Bali manakala kulit ular didatangkan dari Kalimantan.

Beritahu Elaine lagi, kesemua pemilihan warna serta reka bentuk beg mahupun aksesori adalah ideanya sendiri.

Ini adalah untuk memberikan yang terbaik buat para pelanggannya di samping menampilkan satu koleksi yang segar buat peminat-peminat beg tangan dan aksesori.

Pada koleksi kali ini, Elaine turut membawakan yang mewah dan eksklusif dengan menampilkan ciri-ciri moden.

Bentuk rekaan turut diberi tumpuan dengan set warna yang menarik yang dirumus mengikut rekaan saiz yang pelbagai.

Revolusi rekaan terbaru ini tampak lebih ranggi dan bergaya dengan warna-warna terang yang ditampilkan dan sudah pasti ia juga sesuai untuk semua peringkat umur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: