Wednesday, August 24, 2011

Pelajar miskin UTeM terima zakat


FAIDAUZ Azhar (kiri) menyerahkan sumbangan zakat Prestariang System kepada Ahmad Yusoff (kanan) sambil disaksikan Mohd. Khalil Yaakob di Masjid UTeM, baru-baru ini.


MELAKA 23 Ogos – Syarikat peneraju bidang ICT di negara ini, Prestariang System Sdn. Bhd. menyerahkan zakat berjumlah RM25,000 untuk diagihkan kepada pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang kurang berkemampuan.

Sumbangan zakat diserahkan Pengurus Pemasaran dan Jualan, Faidauz Azhar kepada Naib Canselor UTeM, Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan pada majlis berbuka puasa dihadiri Yang Dipertua Negeri yang juga Canselor UTeM, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Kampus Induk Durian Tunggal di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Yusoff, sumbangan zakat itu akan diagihkan kepada pelajar yang dikenal pasti dari keluarga berpendapatan rendah dan anak-anak yatim.

‘‘Kita amat menghargai keprihatinan Prestariang System dengan memberi sumbangan zakat kepada pelajar UTeM yang memerlukan bantuan ia sekali gus membantu golongan ini menimba pengajian dengan lebih baik dan sempurna,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu menurut Faidauz Azhar, komitmen yang diberikan oleh Prestariang System adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan lebih ramai golongan swasta dan korporat tampil memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

‘‘Usaha ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahu lebih ramai swasta mendekatkan hubungan dengan masyarakat dan mewujudkan komuniti prihatin dan penyayang dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berharap melalui pemberian zakat itu, dapat meringankan beban kewangan yang dialami pelajar kurang berkemampuan seterusnya membantu mereka menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Usaha itu juga, katanya, merupakan salah satu tanggungjawab agama dan sosial yang dilaksanakan oleh Prestariang System tanpa hanya meletakkan matlamat kepada aspek keuntungan perniagaan.

‘‘Kami sedar sebagai syarikat korporat, kami perlu memberi semula kepada masyarakat dan tidak melupakan tanggungjawab sosial kami.

‘‘Sebab itu, melalui pemberian zakat ini, kami berpeluang memberi zakat kepada pelajar UTeM yang memerlukan bantuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: