|
|
CUKUP terkesan apabila menghadapi tuduhan yang amat berat, penyanyi kesayangan Malaysia ini menganggap itu merupakan ujian getir buatnya sempena kedatangan bulan Ramadan kali ini.
Tidak pernah terlintas isu ‘berus bulu babi’ akan menjadi besar, siapa sebenarnya yang tahu cerita yang berlaku di sebaliknya? Tidak ada siapa yang dapat meneka gelodak hati Datuk Siti Nurhaliza ketika ini.
Di sebalik senyuman yang tak pernah putus-putus terukir di bibir mulusnya, hatinya cukup risau dengan persepsi orang ramai terhadap produk SimplySiti yang cukup hangat mendapat sambutan.
Inilah yang dinamakan ujian. Ujian yang melengkapkan frasa hidup orang-orang yang berjaya seperti dirinya. Cuma apa yang membezakannya adalah besar atau kecilnya size cabaran itu.
“Siti tak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Siti juga tak tahu macam mana surat itu boleh keluar di blog-blog sampaikan heboh kononnya produk SimplySiti menggunakan berus bulu daripada bahan terlarang.
“Sejujurnya Siti sedih dan kecewa dengan apa yang dah berlaku. Berus itu bukan berus produk kami tetapi berus yang terlibat di dalam kerja pembersihan di kawasan kilang.
“Kerja-kerja menyamak dan penyucian menurut syarak telah pun dilakukan bagi memastikan tidak ada apa-apa langsung yang tidak suci terdapat di dalam premis kilang tersebut lagi sebelum proses pembuatan produk dilakukan di kilang tersebut.
“Siti sudah pun mengeluarkan kenyataan mengenai hal tersebut. Dan beberapa hari lalu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun telah membuat kenyataan berhubung kontroversi yang melanda ini.
“Memang Siti berterima kasih pada Jakim yang banyak membantu kami membersihkan semula nama SimplySiti. Cuma apa yang Siti risau bila peminat dan pembeli masih lagi ragu-ragu pada produk.
“Bukan semua orang sudah membaca kenyataan Jakim tu. Jadi Siti kena terus menguar-uarkan hal ini agar semua orang tahu yang produk kami halal seperti mana yang dituntut oleh syarak,” kata penyanyi asal Pahang lagi.
SimplySiti disabotaj?
TIDAK pernah terfikir isu ini akan berlarutan sehingga menjejaskan semua pihak, ramai yang mula menganggap ada isu lain yang berlaku di belakang kes berus bulu babi.
Pancaindera banyak menerima komen daripada beberapa pihak luar yang menyatakan keraguan mereka dalam isu ini. Keraguan bukan dalam hal halal atau haram tetapi bagaimana surat tersebut boleh terdedah kepada umum.
Yang menariknya, bukan sekadar isi kandungan surat yang menjadi perhatian ramai tetapi yang tersebar bersama adalah surat yang asli sehingga menampakkan seluruh butir-butir yang tercatat.
Lantas ramai yang membuat andaian SimplySiti sudah disabotaj. Bagaimana maklumat yang cukup sulit itu boleh tersebar dan siapa pula yang menjadi dalang kepada masalah tersebut?
Ramai juga berandaian jualan SimplySiti yang naik mendadak cukup ‘melemaskan’ pesaing-pesaing yang lain sehingga berlakunya hal demikian. Lantas ini adalah jalan pintas untuk menyekat produk berkenaan daripada terus menjadi perhatian ramai.
Biarpun perkara itu masih hanya andaian, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu Siti lebih banyak mencari jalan selamat untuk tidak membuat kenyataan berkaitan hal itu.
“Saya tidak mahu komen isu sabotaj atau apa juga hal lain. Ini memang di luar pengetahuan Siti dan tak perlu nak tunding jari cari yang berniat jahat.
“Banyak perkara yang kami (syarikat) terlepas pandang soal-soal yang sensitif ini. Jadi bila isu berus ini timbul ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada Siti sendiri tentang soal ini.
“Memang itu menjejaskan imej SimplySiti dan imej Siti sendiri. Soal halal haram ini memang cukup sensitif bagi kebanyakan orang kita. Tapi setidak-tidaknya kita berusaha untuk membuktikan yang SimplySiti serius dalam soal halal.
“Jadi Siti anggap hal ini dah selesai memandangkan Jakim sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang produk kami halal tanpa sebarang masalah seperti mana didakwa.
“Siti tak ada masalah dengan pihak Jakim. Kita ikut apa sahaja prosedur yang mereka mahu dan kalau boleh biarlah kerjasama antara kami terus berpanjangan dan erat.
“Cuma satu Siti minta, tolong sebarkan maklumat yang tepat,” katanya penuh makna.
Program Ramadan
MELEWATI minggu kedua dalam bulan Ramadan, sudah banyak aktiviti yang dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia. Dalam bulan yang cukup dinantikan ini sudah pasti seluruh umat Islam mahu menggandakan amalan berbanding bulan yang lain.
Cukup teruja melewati Ramadan yang hanya tiba setahun sekali, Siti juga tidak lupa beramal untuk bekalan ‘masa hadapan’.
Cerita penyanyi Aku Cinta Padamu itu, walaupun sibuk dengan urusan tugas mengemudi bisnes yang cukup pesat itu, dia sendiri banyak menerima undangan pentas sempena program hari raya nanti.
Dia yang baru sahaja selesai menjayakan beberapa program televisyen menyifatkan Ramadan kali ini cukup mencabar dan sibuk dengan pelbagai program yang telah diatur selama ini.
Namun pada 7 Ogos yang lalu, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempat bersama dengan penduduk di Masjid Al-Khalidiah Kampung Permatang Pasir, Kedah.
Dalam majlis penyerahan wang zakat dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan itu, Siti cukup gembira kerana dengan bantuan yang tidak seberapa itu mampu memberikan senyuman pada mereka yang menerima.
“Ini merupakan tanggungjawab Siti untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan. Tradisi ini sudah lama dan Siti gembira kerana kami sekeluarga dapat berjumpa dan berbuka puasa bersama saudara, sahabat handai dan orang sekitar.
“Alhamdulillah tahun ini Siti masih berpeluang untuk mengerjakan umrah bersama ahli jemaah yang lain. Ini memang pengalaman yang sangat mengujakan Siti untuk Ramadan kali ini.
“Siti mohon untuk diberi kesempatan beribadah dengan tenang nanti. Mungkin ini dapat mendekatkan diri Siti dengan Allah dan meringankan dugaan yang Siti hadapi selama ini,”
jelasnya yang akan menyambut ketibaan Syawal di kampung sebelah suaminya.
Hanya pada hari raya ketiga barulah dia akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang bagi merai hari lebaran.
Kata Siti lagi, dia pasti akan mengunjungi kubur arwah bapanya terlebih dahulu sebelum bergembira bersama sanak-saudara yang lain.
Dalam nada yang cukup gembira, kata si jantung hati Malaysia ini lagi dia berdebar menantikan kemunculan album Inggeris pertamanya pada bulan September nanti.
Segala-galanya hampir selesai, itu menambah lagi rasa gembira memandangkan ramai yang memberikan reaksi positif terhadap lagi Falling In Love yang sudah diputar di corong-corong radio.
“Memang album Inggeris ini Siti idam-idamkan sejak awal menjadi penyanyi dan sekarang baru jadi kenyataan.
“Kalau kita tak cabar diri sendiri, sampai bila-bila pun kita tak akan berjaya. Kalau boleh biarlah sambutan album ini pun sama seperti album balada sebelum ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: