|
|
PENDATANG baru yang kini hangat dengan single nyanyiannya yang berjudul Ahmad, Arrora Salwa tampil dengan pelbagai kisah kurang enak.
Antaranya Arrora dikatakan enggan mengaku mengenai dirinya yang berstatus janda sejak muncul pada pertengahan tahun lepas. Walhal ramai yang sudah tahu mengenai perkahwinan lampaunya.
Namun, apabila ditanya, dia sering menafikan perkara itu selain mengaku dirinya masih solo.
Aih Arrora...kenapa agaknya boleh jadi begini ya? Apa hina sangatkah status janda sampai awak malu nak mengaku?
Hanya empunya diri sahaja yang mampu menjawab. Dan apabila bersemuka dengan Pancaindera, wanita berusia 26 tahun ini punya penjelasannya yang tersendiri.
“Memang saya pernah berkahwin. Perkahwinan selama lima tahun itu dibina ketika saya berusia 19 tahun.
“Sebenarnya saya tak pernah bohong mengenainya. Memang saya janda tapi saya tiada anak dan komitmen berkaitan,” katanya membuka cerita sebenar.
Menurut Arrora, dia tidak berniat menyembunyikan status sebaliknya dia tidak mahu terus mengingati kisah lapuk rumah tangga yang gagal.
Alasan bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal ini, apa yang diperolehi dan dikecapi sepanjang perkahwinannya dengan bekas suami yang juga merupakan anggota polis sebelum ini tidak seindah dengan apa yang diimpikan.
“Memang ia dibina atas dasar cinta, tapi lama-lama rasa tu dah hilang. Untuk pengetahuan, dia juga merupakan orang Johor, sama seperti saya.
“Sebelum berpisah, kami ada berbincang, tapi nampaknya tak ada jalan penyelesaian dan kami buat keputusan untuk berpisah secara baik pada 26 Julai lalu,” katanya.
Sudah jadi Diva ke?
Dalam pertemuan tempoh hari, Arrora juga meluahkan isi hatinya mengenai pandangan serong segelintir pihak yang menuduh dirinya berlagak diva walau masih baru dalam industri.
Apalagi bila tiba soal bayaran. Pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bayaran RM500 untuk sekali mengadakan persembahan tidak berbaloi dengan usahanya sebagai seorang penyanyi, Arrora tentunya dikecam hebat oleh orang-orang industri sendiri.
Bukan apa, kalau nak difikirkan, Datuk Siti Nurhaliza dulu pun pernah menerima bayaran sebegitu tetapi tak pernah sekali pun dia merungut mengenainya.
Tahu-tahu sahaja Arrora mengeluarkan kenyataan ‘berani’ begitu. Hadiah untuk tindakan itu tak lain tak bukan tentulah kritikan orang ramai yang mendakwa Arrora masih cetek ilmu dalam bidang ini.
Pun begitu, Arrora punya alasan sendiri. Katanya, kenyataan itu telah dimanipulasi oleh sesetengah pihak sehingga akhirnya menimbulkan salah faham.
Menurutnya, apa yang dia cuba sampaikan mempunyai kaitan dengan beberapa kenyataan daripada pihak tertentu yang gemar menabur fitnah dan mengata dirinya sebagai seorang diva.
“Maksud saya, kalau saya ni diva, tak mungkin saya terima bayaran menyanyi pun cuma RM500 paling minima. Mereka kata saya diva, di mana letaknya diva itu?
“Macam-macam tuduhan mereka lempar pada saya termasuklah menuduh saya ada masalah sikap. Bagi saya, apa yang dilemparkan itu adalah kenyataan berunsur hasutan.
“Sebagai bekas anggota polis, sudah tentu saya dididik dengan disiplin yang ketat. Logiknya, saya tak mungkin akan jadi manusia yang suka buat perangai.
“Saya malah meletakkan komitmen yang tinggi setiap kali saya buat kerja sebab saya tahu, bidang ini bukan satu cabang yang mudah,” katanya mempertahankan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: