|
|
BUKAN hendak cakap pasal warna kulitnya yang sememangnya sudah putih melepak. Tetapi kita nak menyorot cerita mengenai kejadian malang yang menimpa aktor kelahiran Kuching, Sarawak ini. Siapa lagi kalau bukan Tony Eusoff, 34.
Difahamkan, Tony terpaksa berputih mata setelah wang di dalam salah satu akaun bank miliknya telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Dengar cerita banyak juga jumlah duit yang dikebas oleh si pencuri itu. Adalah dalam RM8,000.
Wow... memang raya sakanlah nampaknya penjenayah itu.
Bukan apa, ingatkan dalam bulan Ramadan yang mulia ini setiap dari kita, tak kisahlah walau berlainan bangsa sekali pun, akan berbuat baik sesama insan.
Tolong-menolong, hormat-menghormati dan berbudi antara satu sama lain.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Hendak tak hendak, Tony sebagai mangsa jugalah yang terpaksa menanggung sengsaranya akibat insiden itu.
Jom ikuti luahan hati Tony mengenai insiden tersebut bersama wartawan SITI ATHIRAH DZULKIFLY.
Dengar cerita Tony baru sahaja kehilangan sejumlah wang. Macam mana boleh lesap sekelip mata tu?
Semuanya gara-gara saya tercicir dompet pada malam Jumaat baru-baru ini. Saya pun tak perasan bila dompet tu tercicir. Selepas habis latihan teater Nora Zain, saya keluar makan malam berdekatan kawasan rumah saya di Bandar Manjalara, Kepong kira-kira pada pukul 10 malam. Rasanya dompet tu tercicir semasa saya pulang dari tempat makan.
Bila baru perasan dompet dah tak `wujud’?
Biasalah dah balik penat apa yang saya fikir hanyalah nak mandi dan kemudian tidur. Esoknya masa saya nak pergi kerja baru perasan dompet dah tak ada. Terus saya hubungi semua bank untuk menutup semua akaun saya serta-merta.
Habis kalau tutup semua, macam mana pula RM8,000 boleh lesap?
Tak tahu nak cakap macam mana, tapi saya rasa si penjenayah tu sudah berjaya meneka nombor pin kad bank saya sebelum mengeluarkan duit yang ada. Saya pun tak sangka dia berjaya teka nombor itu. Hasil siasatan dengan bantuan pihak bank, saya dapat tahu individu tersebut sudah buat pengeluaran wang tunai dari akaun saya sebanyak dua kali. Pada waktu malam kejadian dan pagi keesokan harinya.
Memang cuai. Tony sudah buat laporan polis?
Perkara jenayah macam ini tak akanlah saya nak lambat-lambatkan membuat laporan. Selepas dapat kesan aktiviti pengeluaran itu, saya terus buat laporan di balai polis. Tapi sampai sekarang saya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang progres daripada pihak polis. Selain itu, memandangkan kesemua dokumen penting terutama kad pengenalan turut lesap, saya pun tak ada pilihan lain melainkan pergi membuat yang baru. Tak fasal-fasal saya terpaksa mengorbankan masa untuk menguruskan hal-hal ini sedangkan saya sibuk menjalani latihan teater.
Iyalah, dah memang terang-terang kecuaian datang dari Tony sendiri, jadi hendak tak hendak kena jugalah uruskan semua itu betul tak?
Memang saya akui pada awalnya memang salah saya. Tapi masalahnya sekarang, saya juga ada rasa terkilan. Terutamanya terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bank-bank. Bila jadi begini, barulah saya tahu betapa susahnya nak pertahankan hak kita sebagai mangsa walau kes ini nampak kecil.
CCTV pula yang salahkah?
Bukan begitu. Tapi saya sedang pertikaikan sejauh mana CCTV yang ada di seluruh bank di Malaysia ini berfungsi. Rupanya tak semua mangsa kes dapat melihat rakaman semula CCTV dan ini memang mengecewakan saya. Memanglah saya dah buat permohonan untuk tujuan itu, tapi proses permohonan bukan sehari dua. Tapi mengambil masa sampai beberapa minggu.
Memanglah. Bukanlah semua perkara kena ikut prosedur. Tony kenalah sabar sikit.
Memang saya boleh sabar, tapi kalau awak nak tahu, walau permohonan dah diluluskan, kita nak tengok CCTV tu perlu dipantau bersama oleh pihak polis. Itu belum tentu lagi pihak polis bersetuju hendak buat proses tu. Kalau mereka tak mahu, saya pun tak boleh buat apa. Entahlah, saya pun dah tanya pada pihak bank dan secara am mereka katakan jarang sekali kes begini dapat diselesaikan. Kebanyakannya tergantung kerana hal-hal begini. Akhirnya duit lesap macam tu sahaja.
Kecewa benar nampaknya.
Saya cuma mahu menegakkan hak saya. Bukan apa, ini juga untuk kebaikan masyarakat bersama. Kita perlu tahu hak kita sebagai mangsa. Sampai sekarang saya asyik terfikir, apa gunanya mereka pasang CCTV tu kalau fungsinya tak ada? Tak akan untuk tayang sahaja di premis? Patutnya, pihak berkuasa perlu membuat siasatan dengan telus tak kiralah kes itu kecil atau besar. Kalau berterusan macam ni, sampai bila-bila pun tak akan ada jalan penyelesaian.
Jadi apa pengajaran yang Tony dapat daripada insiden ini?
Sentiasa berhati-hati dan janganlah nak letak harapan sangat pada sesuatu kes yang belum tentu ada jalan resolusinya. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa. Jangan ingat saya ini artis, saya hidup mewah. Walhal, orang tak tahu, kita ni bekerja teruk untuk mencari rezeki sama sahaja macam orang lain.
Macam mana pula dengan penjenayah yang ambil duit Tony tu?
Saya pun tak boleh hendak tuduh sesiapa. Memang nasib malang nak menimpa. Nak buat macam mana. Tapi, kepada si penjenayah tu, saya harap semoga dia `berbahagialah’. Jangan ingat dia boleh hidup aman dengan mengambil kesempatan ke atas orang lain. Sekarang saya pun tak ada mood untuk ke mana-mana. Nampaknya, saya pun kena puasalah bulan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: