JOHOR BAHRU: Tabung Sedekah Ramadan di Masjid Taman Perling di sini, tidak terkecuali daripada menjadi sasaran mudah pencuri yang tergamak cuba memecahkan peti berisi wang tunai hasil sumbangan jemaah itu.
Namun tindakan mereka lari secara meninggalkan sebuah motosikal di laman masjid itu menyebabkan seorang daripada suspek berhasil ditahan polis kelmarin selepas mengesan berdasarkan nombor pendaftaran, manakala seorang lagi rakan suspek sedang diburu.
Usaha pencuri melarikan wang daripada tabung masjid berkenaan bukan baru, sebaliknya sudah dua kali berlaku tahun ini iaitu pada Mei dan Jun lalu yang turut dirakam menerusi CCTV yang dipasang.
Selain cuba memecah mangga kunci, ada di antara pencuri terbabit menggunakan taktik memancing secara melekatkan gam pada hujung lidi penyapu sebelum dihulurkan ke dalam tabung berkenaan dengan harapan dapat melekatkan wang kertas di dalamnya.
Setiausaha Masjid Taman Perling, Hashim Sulaiman, berkata beliau tidak menyangka penjenayah sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang tanpa mengira hukum agama.
“Kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, adalah kes ketiga tabung masjid dipecahkan tahun ini. Ia dipercayai dilakukan selepas waktu solat Isyak hingga Subuh kerana ketika tiada jemaah dalam masjid.
“Sebelum ini ada pencuri menggunakan taktik pancing dengan membalut gam pada hujung lidi penyapu dan mengambil wang derma tanpa memecahkan tabung berkenaan.
“Walaupun jumlah yang mampu diperoleh mereka tidak seberapa, tetapi ia memberi kesan kepada kami selaku ahli jawatankuasa masjid kerana wang itu sumbangan orang ramai untuk tujuan baik, tetapi disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui semalam.
Hashim berkata, pencuri dipercayai mengambil kesempatan terhadap kelonggaran keselamatan masjid terbabit yang tidak berkunci pada waktu malam untuk melakukan jenayah.
“Ruang masjid ini tidak berkunci kerana kami mahu memberi kemudahan kepada musafir yang ingin menumpang pada waktu malam. Namun, ada individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kelonggaran ini," katanya.
Hashim berkata, selain memasang enam CCTV di sekitar kawasan masjid terbabit, pihaknya akan berusaha meningkatkan lagi rondaan kawasan sekitarnya pada sebelah malam dan awal pagi dalam usaha mengelak kejadian berulang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: