Sunday, August 21, 2011

Cara JMD dan artis beramal


USAI program, para artis turut mengambil kesempatan untuk berbuka puasa bersama kakitangan JMD.


AMAL jariah dengan bersedekah pastinya boleh dilakukan pada bila-bila masa. Namun, bulan Ramadan lazimnya menyaksikan ramai umat Islam berlumba-lumba untuk membuat amal dan cenderung untuk melakukan sedekah.

Selain mahu mengumpul nikmat pahala dan keberkatan di bulan Ramadan, sedekah juga dapat meringankan beban terutama bagi golongan yang memerlukan.

Pun begitu, ada banyak cara untuk seseorang individu itu bersedekah dan ia terpulang kepada kreativiti masing-masing.

Pendekatan ini yang diambil oleh syarikat pengeluar jamu terkemuka Malaysia, Jamu Mak Dara (JMD) apabila mereka timbul dengan cara unik membuat amal.

Caranya begini. Memberhentikan kereta di tepi jalan dan terus mengedarkan makanan kepada orang ramai secara spontan!

Bunyinya mungkin agak janggal, namun itulah yang dilakukan oleh pihak JMD yang turut disertai sekumpulan kakitangannya baru-baru ini.

Malah, aktiviti mengedarkan makanan kepada orang ramai itu juga turut disertai empat artis tanah air iaitu Nanu Baharuddin, Anding AF2, Amran Ismail dan Adeline Tsen.

Bergerak bersama dalam satu kumpulan, kesemua mereka meredah kehangatan terik matahari bermula seawal pukul 3 petang.

Lokasi yang menjadi pilihan adalah di sekitar Jalan Bukit Bintang dan di hadapan bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Petang itu juga menyaksikan bagaimana 2,000 bungkusan plastik yang mengandungi air kotak dan roti telah ‘licin’ diedarkan kepada orang ramai di kedua-dua lokasi tersebut.

Peluang untuk berada dekat dengan orang ramai sebegini tentunya tidak akan dilepaskan barisan artis yang hadir. Apatah lagi, kelibat mereka berlari-lari anak sambil membawa bungkusan sampai tak cukup tangan ternyata berjaya mencuri perhatian umum.

Biarlah peluh basah menitik, namun itu bukanlah satu alasan buat kumpulan ini untuk tidak meneruskan aktiviti yang hampir dua tahun dirancang.

Menurut Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali selaku ketua kumpulan, aktiviti mengedar makanan itu telah dirancang sejak 2010. Namun atas sebab-sebab tertentu, ia terpaksa dianjak kepada tahun ini.

“Jabatan Kebajikan dan Penganjuran JMD sebenarnya sudah lama nak buat aktiviti ini yang tentunya boleh mendekatkan kami dengan masyarakat. Ia juga dibuat sebagai tanda terima kasih kami kepada semua pengguna setia produk-produk JMD,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Syed Gadaffi, idea untuk bersedekah dengan cara unik ini tercetus selepas dia menyaksikan fenomena sedemikian yang banyak dilakukan oleh masyarakat di negara Arab.

Katanya, idea itu timbul semasa dia mengerjakan Umrah dua tahun lepas di bumi Mekah.

“Saya lihat kebanyakan penduduk di sana suka memberi sedekah. Malah cara mereka juga unik. Mereka meletakkan kenderaan di mana-mana kawasan di tepi jalan, membuka ruang menyimpan barang di belakang kereta dan kemudian terus mengedarkan makanan kepada orang ramai yang ada di sekitar.

“Cara mereka sungguh spontan dan ia dilakukan tanpa ada halangan. Dari situ saya tertarik untuk membawa budaya itu ke Malaysia lebih-lebih lagi saya lihat, tak ada lagi orang kita yang buat begitu,” katanya.

Kata anak kepada pengasas JMD, Ibu Halimah Shuib ini lagi, pihaknya juga bertuah kerana program ini turut mendapat kerjasama baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Trafik jalan Bandar.

Dalam pada itu, menurut Syed Gadaffi, roti yang diedarkan kepada orang ramai itu juga sangat istimewa kerana ia dihasilkan oleh Ibu Halimah sendiri.

“Kami juga sedang mempromosikan cabang baru JMD dalam bidang pembuatan makanan khususnya membuat kek dan roti pada waktu ini. Jadi secara tak langsung, orang ramai yang dapat bungkusan yang diedarkan tadi dapatlah merasa roti yang dibuat oleh ibu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: