Sunday, August 21, 2011

Bahagia Saleem tiada penghujung


SALEEM bahagia dikurniakan isteri dan anak yang cukup memahami dirinya.


SENYUMAN yang tidak putus-putus terukir dari bibir lelaki ini. Sesekali dia memandang wajah isteri dan anaknya yang cukup teguh berada di belakangnya. Tidak peduli dengan apa yang berlaku, bagi Saleem dia tahu apa yang dilakukannya.

Dalam hati kecil lelaki yang bakal menginjak usia 50 tahun hujung bulan ini, sebetulnya Saleem cukup berterima kasih pada Julia Bachok yang tak pernah henti-henti membantu dirinya untuk terus berada di sini.

Biar datang ribut dan taufan sekalipun, mereka akan lalui bersama. Tak pernah gentar dengan dugaan yang bakal mendatang, Saleem tahu mereka akan harungi bersama-sama.

Apatah lagi melihatkan permata hati yang sedang membesar di depan mata, semuanya tambah indah. Bagi Saleem semua yang diimpikan sudah ada di depan mata.

Tidak mahu terlalu mencari sempurna, bagi Saleem masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia biasa.

“Banyak sebenarnya perancangan yang saya nak buat. Orang selalu cakap bila nama dah besar, tak perlu banyak buat kerja. Itu memang tak berapa tepat bagi saya.

“Paling tidak saya kini sedang dalam proses untuk membuat album baru yang saya kira cukup hebat dalam segala perkara. Dari segi pembikinan lagu sampailah penulisan lirik, memang kita tapis betul-betul semuanya.

“Album tu bakal diisi dengan 10 buah lagu. Cuma masih ada beberapa buah lagu yang masih belum dirakam. Bila siap semuanya mesti saya orang yang paling gembira,” kata lelaki kelahiran Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini lagi.

Bagi peminat yang sudah mengikuti perkembangan bekas vokalis kumpulan Iklim ini pasti mengetahui rangkaian lagu-lagu popular penyanyi ini. Daripada lagu Suci Dalam Debu, Di Pintu Mahligai, Mahligai Syahdu sehinggalah lagu Trilogi Cinta semuanya cukup menaikkan nama Saleem semula.

Cuma kisah lagu Trilogi Cinta itu sedikit berbeza memandangkan itu merupakan lagu yang sudah ada didalam Youtube.

“Rasanya semua tahu yang lagu Trilogi Cinta itu merupakan lagu yang memang sudah ada di dalam laman Youtube. Lagu itu saya nyanyikan semula dan menjadi ikutan ramai.

“Itu memang satu perkara yang cukup membanggakan saya. Macam juga album kali ini, lagu hits sudah ada dan saya gunakan teknik yang sama dengan mencari lagu-lagu baru di Youtube.

“Kita rakam semula dan kita bayar pada tuan punya lagu yang menuntut hak mereka. Tapi hanya satu lagu sahaja yang diambil begini, lain-lagi lagu masih guna proses yang standard.

“Ada lagu yang sedap tapi tidak diketengahkan. Lagu tu sedap tapi orang tak tahu, rasanya tak guna juga. Jadi saya ambil pendekatan untuk menyanyikan semula dan mempopularkan semula,” jelasnya lagi.

Tidak hanya mahu menjadi penyanyi semata-mata, kali ini Saleem cukup teliti dalam soal penulisan lirik. Baginya perkara ini amat penting memandangkan kebanyakan lirik yang ada hanya berkisahkan cinta semata-mata.

Untuk itu banyak penambahbaikan yang dilakukan oleh Saleem dan dibantu oleh isterinya dalam mencantikkan lagi lirik lagu baru penyanyi itu.

“Asyik-asyik kisah cinta antara pasangan kekasih. Saya ni bukan muda lagi untuk nyanyi semua lagu-lagu cinta. Jadi saya ubah sedikit lirik itu untuk jadi cinta pada Tuhan, cinta pada alam, cinta pada keluarga dan sebagainya,” luah Raja Balada ini.

Bercerita mengenai sambutan hari raya pula, mereka sekeluarga akan menyambut hari raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung sebelah isterinya yang terletak di Johor.

Selepas raya ketiga barulah mereka akan bergerak ke Terengganu bagi meraikan Syawal bersama ibu dan adik beradik yang lain. Sudah pasti sambutan tahun ini cukup meriah tetapi memandangkan inilah masa untuk mereka berkumpul bersama sanak saudara yang lain.

“Memang tiap kali raya isteri saya akan masak burasak. Burasak tu sejenis makanan orang Bugis yang memang selalu dihidangkan pada hari raya dan saya amat gemarkannya.

“Persiapan lain hanya dibuat secara sederhana. Apa yang penting anak perlu didahulukan. Apa yang dia mahu saya kena sediakan sebab mereka orang yang paling gembira bila tibanya lebaran.

“Kalau nak tukar perabot dan segala benda macam langsir tu tidaklah. Masih banyak lagi perkara lain nak kena buat. Lebih baik saya bersedekah pada masjid dan anak yatim.

“Memang tiap-tiap tahun saya tidak pernah lupa untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik. Ini sahaja amal kecil yang mampu saya lakukan untuk orang lain,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: