SESIAPA saja pasti terliur apabila membayangkan kelazatan rasa coklat. Coklat yang sedap sememang cukup rasa lebih-lebih lagi jika ia dihasilkan dengan tangan yang disertai dengan perasaan penuh kasih sayang dan belaian manja.
Malah coklat buatan tangan yang dibuat sendiri di rumah kini semakin popular di Malaysia.
Ada yang menjadikannya sebagai hobi untuk hidangan keluarga, dan ada yang melakukannya sebagai kerjaya.
“Sekarang ini, kita berhadapan dengan lebih banyak aliran kerjaya, dan menjadi seorang pembuat coklat bukan lagi sesuatu yang mustahil yang hanya boleh dicapai oleh mereka yang mengembara ke luar negara.
“Akademi Seni Pastri Malaysia komited untuk mempersiapkan pembuat coklat yang sedia beraksi di pentas antarabangsa dengan segala peralatan kami yang lengkap.
“Kami mendedahkan pelajar dan menggalakkan lebih ramai orang mempelajari lebih banyak ilmu menjadi pembuat coklat termasuk menjemput pakar-pakar pembuat coklat mengendalikan kursus di akademi ini,” kata Chef Guilaumme Lejeune, Pengarah Kajian Pastri, Akademi Seni Pastri Malaysia.
Pakar pembuat coklat, Jean Marie Auboine baru-baru ini telah menjadi tamu di akademi itu untuk menganjurkan suatu bengkel khas mengenai barang pameran dan arca coklat serta mendemonstrasikan pelbagai teknik dan kemahiran dalam membuat Chocolate Bon Bon, pralin dan halwa gula.
Auboine ialah pakar pembuat coklat dan Chef Pastri Eksekutif di Bellagio Resort and Casione di Las Vegas, Amerika Syarikat
Para pelajar diajar cara mengadun dan membentuk coklat serta diperkenalkan kepada pelbagai inti coklat seperti karamel dan nougat lembut.
Teknik-teknik lain seperti membuat trufel, pralin, pate de fruit dan kerja-kerja dengan helaian bertekstur serta helaian pindahan (textured sheet and transfer sheets) juga diajar, selain membuat arca dan membentuk barang pameran coklat yang menarik.
“Selain menawarkan program coklat di akademi ini, kami juga telah membuka Studio, iaitu bilik pameran dalaman kami yang memberi tumpuan kepada menyediakan bahan-bahan berkualiti untuk chocolatier dan penggemar pastri,” tambah Lejeune.
Akademi Seni Pastri Malaysia juga turut menyediakan pelbagai kelengkapan untuk pembuat coklat seperti mesin pengadun, acuan dan ramuan-ramuan berkualiti.
Produk-produk terbabit didatangkan dari Chocolate World, Aeroshield, Bakels, Callebaut dan Cocoa Berry.
Kursus coklat seterusnya (Tahap 1) akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos 2011 (Jumaat dan Sabtu).
Para peserta akan mempelajari teknik-teknik asas dalam pembuatan coklat, serta 6 jenis coklat.
Yuran ialah RM500. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.academyofpastryartsmalaysia.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: