|
|
CITA-cita yang membara untuk mencapai impian dan disertai pula minat yang mendalam untuk memilikinya akan mendorong seseorang itu sanggup menghadapi apa juga halangan mendatang.
Biarpun bermacam-macam dugaan dan ujian datang menimpa, seseorang itu pasti akan cuba menempuhnya dengan tabah serta tidak akan sesekali menyerah kalah.
Prinsip untuk berjaya itu dikongsi bersama oleh seorang pelajar ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Suriani Ismail yang bercita-cita menggenggam segulung ijazah doktor falsafah (PhD).
Gadis manis berusia 26 tahun itu tidak pernah menganggap segala ujian dan kesusahan yang dialaminya ketika belajar boleh melunturkan semangat juangnya dalam mengejar ilmu.
“Sebagai pelajar program ijazah sarjana, kita pasti tidak akan terlepas dengan bermacam-macam dugaan untuk menyiapkan tugasan dan tesis sebagai pelengkap pengajian masing-masing.
“Contohnya apabila kita terpaksa berhadapan dengan kegagalan untuk mendapatkan kembali soalan tinjauan daripada responden untuk penyelidikan setelah bersusah payah menghasilkannya,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Suriani yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mengakui perasaan tertekan ketika belajar merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan.
Biarpun begitu, dia berkata, perasaan tertekan itu perlu diurus dan diatasi dengan bijak agar tidak mengganggu tumpuan untuk meneruskan pengajian.
“Apabila saya berasa tertekan ketika belajar, saya akan mencari tempat yang tenang untuk melupakan segala masalah yang dihadapi.
“Salah satu tempatnya adalah di taman-taman di sekitar Putrajaya yang menyajikan pemandangan landskap tumbuhan hijau, selain dapat menikmati kicauan burung yang menenangkan jiwa,” katanya.
Suriani yang gemar membaca apa sahaja bahan bermanfaat menyifatkan tempat yang tenang memudahkan fikiran menjana sebarang idea baru untuk tesisnya.
Dia kini sedang berusaha untuk menumpukan perhatian menyiapkan tesis bagi ijazah sarjananya yang sudah berada di peringkat akhir.
Selepas tamat pengajian ijazah sarjana itu nanti, Suriani mahu meneruskan cita-cita menyambung pengajian di peringkat PhD di universiti yang sama untuk merealisasikan impian yang terbuku sejak sekian lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: